PKPD : Tujuh sekatan di Kota Setar
Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar mengesahkan akan melaksanakan tujuh sekatan jalan raya (SJR) di daerah berkenaan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketat secara Pentadbiran (TEMCO) yang bermula tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Mohd Redzuan Salleh menjelaskan ia bagi memastikan tidak berlaku aktiviti keluar masuk dalam kalangan penduduk selain memastikan pelaksanaan TEMCO.
Menurutnya, tujuh lokasi SJR adalah di hadapan Restoran Haji Ramli Simpang Empat; Jalan Batas Paip, Kuala Kedah; hadapan Balai Polis Alor Janggus; hadapan Balai Polis Kepala Batas; Jalan Hutan Kampung; Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan.
Tambah beliau, pihaknya yakin keperluan logistik seperti kuantiti anggota keselamatan yang terlibat adalah mencukupi meskipun TEMCO kali ini melibatkan satu daerah yang sangat luas.
Jelas Mohd Redzuan, dengan kekuatan 350 pegawai dan anggota polis serta pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat dapat membantu dalam memudahkan perlaksanaan SJR dan pemantauan premis-premis yang berada di daerah Kota Setar.
“Kami akan mengadakan sebanyak tujuh sekatan jalan raya yang melibatkan sempadan-sempadan di dalam daerah Kota Setar.
“Sebagai contoh, sempadan Kota Setar dan juga Jitra. Kemudian, untuk tujuh SJR ini, kami turut melibatkan kekuatan daripada Angkatan Tentera Malaysia sebagaimana kerjasama-kerjasama sebelum ini.
“Kami turut mengadakan sebanyak 21 pasukan pemantau yang akan digerakan mengikut syif yang telah ditetapkan sebagaimana PKP terdahulu,” katanya pada sidang media berhubung penguatkuasaan TEMCO bagi daerah Kota Setar di Balai Polis Kepala Batas pada Jumaat.
Kata Mohd Redzuan lagi, pasukan pemantau dan pasukan daripada unit ronda bermotosilkal akan mengawal laluan tikus di laluan-laluan utama berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Redzuan menjelaskan pihaknya telah menerima pelbagai pertanyaan dan permohonan bagi kebenaran untuk tujuan bekerja di dalam kawasan TEMCO.
Menurutnya, pihak majikan seharusnya dapat mempertimbangkan untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah memandangkan situasi semasa berhubung beberapa kluster di daerah berkenaan agak serius.
Terdahulu, kerajaan telah mewartakan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di daerah Kota Setar ekoran peningkatan kes di lokasi berkenaan.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, TEMCO tersebut dikuatkuasakan mulai 11 September pukul 12.01 tengah malam hingga 25 September 2020, sebagai sebahagian langkah pencegahan penularan COVID-19. Awani