Mat Sabu persoal motif dakwa Lim Guan Eng ketika PRN Sabah

Amanah mendakwa pendakwaan ke atas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah usaha untuk menghalangnya daripada mengetuai parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, sesiapa sahaja boleh didakwa di mahkamah jika terdapat bukti penglibatannya dengan gejala rasuah.

“Memerangi rasuah adalah agenda utama Pakatan Harapan (PH) dan Index Persepsi Rasuah (CPI) meningkat mendadak di bawah pemerintahan PH daripada kedudukan ke 61 kepada 51 negara paling tidak rasuah.

“Namun, dalam kes Guan Eng ini, adakah pendakwaan ketika musim pilihan raya ini satu usaha untuk menghalang beliau mengetuai kempen pilihan raya DAP di Sabah?,” soal beliau menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Pada 7 Ogos lalu, Guag Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Namun, pada 11 Ogos pula, beliau dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng serta ahli perniagaan, Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Guan Eng, Gek Cheng dan Li Koon, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Hakim membenarkan pasangan suami isteri itu dan Li Koon masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker