PM telah beri bayangan PRU15 dalam masa terdekat

Kerja bersungguh-sungguh seperti esok PRU

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung dalam masa terdekat.

Ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-4 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini malam kelmarin, Presiden Bersatu tersebut memberi peringatan kepada semua pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan ahli parti agar bekerja keras seolah-olah Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlangsung esok.

“Jangan tanya saya bila PRU akan datang. Yang Penting kita perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh seolah-seolah esok pilihan raya akan diadakan… seolah-olah esok pilihan raya akan diadakan.

“Faham betul bahasa Melayu saya itu,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam kelmarin.

Muhyiddin berkata lagi, bagi menentukan kejayaan pada PRU15, kesemua pemimpin dan ahli PN perlu mengukuhkan semangat perpaduan tanpa perasaan cemburu dan iri hati.

“Jangan ada perasaan-perasaan yang boleh menyebabkan kerenggangan hubungan sesama kita. Kita harus mempercayai antara satu sama lain, harus bantu dan tolong satu sama lain,” kata Perdana Menteri.

Beliau menyentuh penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional yang katanya, dilakukan tanpa berfikir panjang sebaik menerima jemputan daripada kerjasama dua parti Melayu Islam tersebut.

Katanya, yang penting sekarang ialah bergerak ke depan dan memastikan kerjasama itu membuahkan sesuatu yang bermanfaat kepada negara dan kerajaan.

Muhyiddin berkata, walaupun empat tahun adalah suatu tempoh yang singkat sejak penubuhannya, Bersatu berjaya melakar sejarah sebagai parti politik dan pimpinan kerajaan.

Bercakap mengenai sambutan keempat tahun penubuhan Bersatu, Muhyiddin mengingatkan semua ahli agar terus mewujudkan barisan yang kuat dan kukuh.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker