Ada apa dengan PRN Sabah?

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung pada 26 September 2020 nanti bakal menyaksikan sejumlah 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan dengan sekitar 48 kerusi di kawasan majoriti Islam.

PRN itu tidak akan berlaku jika Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Warisan yang kalah di peringkat negeri tidak menjatuhkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinan Tan Sri Musa Aman pada Mei 2018.

PRN itu tidak akan berlaku jika Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak memohon pembubaran DUN setelah mendapati beliau hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).



Jika dilihat pergerakan politik sejak sebulan lalu, PRN kali ini akan menyaksikan pertarungan sengit tiga fraksi politik Sabah iaitu PH -Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS) dan Barisan Nasional-Perikatan Nasional-Parti Bersatu Sabah (PBS).

Warisan dan Mohd Shafie Apdal mempunyai sokongan kuat di pantai timur Sabah, tetapi tidak lagi akan mendapat sokongan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut serta masyarakat bumiputera Islam di kawasan lain.

Ini memberi ruang besar kepada UMNO dan BN untuk kembali memerintah setelah kemenangan dalam PRU lalu dirampas melalui jalan belakang. Ditambah dengan sokongan PBS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), BN sepatutnya mudah menjadi kerajaan semula jika tidak berhadapan perebutan kuasa dan kerusi dengan Bersatu.

PCS muncul menjadi fraksi ketiga setelah kepimpinannya diambil alih Datuk Seri Anifah Aman, salah seorang bekas figura politik UMNO Sabah.



Walaupun sebelum ini parti tersebut tidak diberi banyak peluang, namun kemunculan polemik pembahagian kerusi dalam BN-PN-PBS menjadikan PCS sebagai dark horse yang boleh membuat kejutan.

Pengundi

Setelah kontroversi dua kali jatuhnya kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun ini, pengundi Sabah kini lebih berminat kepada faktor kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi bawahan.

Justeru, jika faktor kestabilan politik pasca-PRN diambil kira, Warisan dan PCS mempunyai kelebihan kerana kedua-dua parti akan bertanding antara 45-60 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.



UMNO dikhabarkan hanya akan bertanding antara 27-30 kerusi. BN secara keseluruhan dikatakan hanya akan bertanding 35 kerusi. Ini adalah satu kekurangan besar kepada parti tersebut dalam menarik sokongan pengundi atas pagar.

Walaupun kekurangan itu mudah difahami sebagai tolak ansur dengan Bersatu, namun ia bukan alasan yang boleh digunakan kepada pengundi bukan tradisi parti tersebut.

Kegagalan UMNO bertanding sekurang-kurangnya 37 kerusi majoriti Islam dilihat akan menyebabkan ketidakstabilan politik negeri pada masa depan.

Maka di sini ada polemik yang cukup besar: apakah pengundi Sabah percaya BN-PN-PBS boleh membawa kestabilan politik kepada negeri Sabah atau mengulangi sejarah kejatuhan Warisan.



Beberapa teman di Kota Kinabalu yang ditemui penulis minggu lalu melontarkan pertanyaan yang hampir serupa: “Jika mereka tidak boleh menggunakan logo sama, bagaimana mereka boleh meyakinkan kami bahawa tidak akan berlaku perbalahan selepas PRN nanti?”

Selain kestabilan politik, manifesto parti yang bertanding juga tidak kurang penting. Ketika pemimpin tiga fraksi itu bercakap soal projek mega seperti jambatan Labuan-Sabah, kereta kabel dan hubungan negeri-Persekutuan sebagai isu yang utama kepada mereka, rakyat Sabah tampak mahukan sesuatu yang lebih dekat dengan mereka.

Mereka mahukan pilihan yang lebih baik dari segi peluang pekerjaan, kemakmuran ekonomi mikro (bawahan), peluang pendidikan anak luar bandar serta prasarana asas rakyat.

Ketika pengundi Sabah mahu menolak Warisan, BN tampak seperti belum berjaya meyakinkan mereka sepenuhnya. Jika BN tidak berupaya keluar daripada jalur politik konservatif mereka, maka tidak mustahil PCS akan mengulangi sejarah PBS dalam PRN 1985.



*Ab Jalil Backer merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker