Kemungkinan besar DUN Kelantan tak dibubar jika PRU
Kerajaan negeri memberi isyarat bahawa dewan undangan negeri (DUN) mungkin tidak akan dibubar jika berlaku pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat.
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam perbincangan pihak kepimpinan.
“Perkara ini dalam perbincangan pihak kepimpinan sama ada dewan undangan negeri turut dibubarkan atau tidak.
“Atas kaedah biasa saya rasa tidak ada keperluan untuk negeri (DUN) dibubarkan. Apa yang perlu kita lihat kestabilan di peringkat parlimen. Pandangan saya, kemungkinan besar hanya di peringkat parlimen sahaja,” katanya kepada media di Machang, Kelantan hari ini.
Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Kelantan sama ada bersedia membubarkan DUN jika berlaku PRU.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanuni Md Nor turut berpandangan sama dan menegaskan tiada keperluan untuk membubarkan DUN di negeri- negeri yang stabil.
Sementara itu Ahmad berkata, keperluan mengadakan pilihan raya hanya melibatkan parlimen.
“Bagi saya (libatkan) parlimen saja, melihat kepada keadaan sebab tidak ada keperluan kenapa DUN hendak dibubarkan dalam suasana kita yang stabil, tidak bermasalah dan keseluruhannya dalam gabungan Perikatan Nasional, tidak ada pembangkang.
“Lebih baik dengan keadaan yang kita ada hari ini, yang penting kita dapat melaksanakan program kita kepada rakyat.
“Tapi kalaulah diputuskan untuk negeri juga terlibat, kita terima sajalah,” katanya yang juga anggota DUN Pasir Pekan.