PH , RBA perlu henti propaganda jahat, tunjuk politik matang

Share

Pakatan Harapan (PH) khususnya Red Bean Army diingatkan agar berhenti melakukan propaganda jahat untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) selepas tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri menegaskan, sewajarnya mereka menunjukkan politik matang kepada rakyat, lebih-lebih lagi kepada anak muda yang mula meyakini jenama Muafakat Nasional (MN).

“Cukup-cukuplah dengan propaganda jahat, lebih baik kita berpolitik secara matang kerana ini menggambarkan suasana politik hari ini, anak muda sudah mula yakin dan percaya ke atas penjenamaan MN dan BN ini.


“Jadi tidak usahlah kita rosakkan dengan imej atau posting-posting (media sosial) yang berniat jahat seperti ini.

“Saya minta rakan-rakan di sebelah sana, PH atau Red Bean Army jangan lakukan politik tidak matang kerana rakyat sudah menilai apa yang telah dibuktikan oleh BN selama ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Jumaeah Masdi membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook yang memfitnah Tan Sri Noh Omar, baru-baru ini.


Pada 30 Ogos lalu, beberapa pemilik akaun Facebook telah dikesan memuat beberapa gambar Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sedang memberikan wang kepada orang ramai.

Posting Facebook tersebut turut memuatkan kata-kata yang mengaitkan gambar Ahli Parlimen Tanjung Karang itu dengan PRK DUN Slim pada 29 Ogos 2020 lalu.

Dalam pada itu, laporan polis yang dibuat UMNO Bahagian Shah Alam ini bagi memastikan kemenangan BN dalam PRK DUN Slim tidak dicemari dengan isu-isu berkaitan rasuah.


“Kita kena pastikan hantaran-hantaran Facebook ini tidak memudaratkan kemenangan BN dalam PRK DUN Slim ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kami Prihatin Selangor (PRIHATIN), Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakob pula mengingatkan mana-mana pihak yang tewas dalam pilihan raya agar menerima kenyataan dengan hati terbuka.

“Kalau sudah kalah itu, terimalah kenyataan, jangan pula merosakkan imej orang yang telah menang.

“Mana-mana parti politik kalau tak boleh terima kekalahan, jangan bertanding lagi dalam pilihan raya.

“Kita berharap pihak polis buat siasatan secara terperinci, tangkap dan dakwa supaya perkara ini dijadikan sebagai pengajaran kepada mereka di luar sana,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply