Kerajaan perlu segera selesai debat isu sekolah vernakular, kata Dr Shamrahayu

Kerajaan perlu segera mencari penyelesaian perdebatan isu sekolah vernakular kerana jika tidak ia akan menghangatkan lagi suhu perkauman, kata penganalisis.

Pakar Perlembagaan Prof Dr Shamrahayu A Aziz berkata jika semua pihak bercakap mengikut sudut pandang masing-masing ia akan memburukkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Jelasnya, masyarakat perlu segara mendapat jawapan apakah sekolah vernakular menyumbang kepada perpecahan masyarakat di negara ini dan sama ada is bercanggah dengan Perlembagaan.

“Adakah ia punca ketidaksepaduan masyarakat atau kerana tak guna bahasa kebangsaan? Keputusan mahkamah perlu segara (sama ada bertentangan Perlembagaan atau tidak).



“Kementerian Pendidikan (KPM) perlu buat kajian spesifik, apakah disebabkan silibus atau penggunaan bahasa, saya keliru apa masalah sebenarnya, masalah pokok ketidaksepaduan dalam masyarakat. Kalau asyik bercakap saja akan lebarkan perbalahan.

“Kita tak mahu isu ini diambil dikesempatan oleh kelompok tertentu. KPM perlu segera menamatkan (perdebatan ini) kerana ia menghangatkan suhu perkauman, kita sayangkan negara perlu segera hentikan polemik ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, memadai kajian menyeluruh dilakukan oleh pakar-pakar dari dalam negara sendiri.

Pada 23 Oktober tahun lalu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang juga naib presiden Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra) memfailkan notis usul untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan perlembagaan.



Dalam notis usul itu, beliau antara lain berkata Parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996.

Seksyen 17 berkenaan bahawa pengantar di sekolah jenis kebangsaan, manakala Seksyen 28 berkenaan penubuhan dan penyenggaraan sekolah itu.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran cabaran itu. Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dalam penghakimannya memutuskan bahawa parlimen mempunyai bidang kuasa untuk mengubal undang-undang mengenai pendidikan.

Pada 26 Ogos lalu, Pemuda Bersatu (Armada) tetap mahu sekolah vernakular dihapuskan secara berperingkat meskipun Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique, memberi jaminan kerajaan tidak akan memansuhkannya.



Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata sayap Bersatu itu menolak secara tuntas kenyataan Halimah yang didakwanya tidak mencerminkan citra nasional bagi menjayakan integrasi kaum di negara ini.

Sementara itu, mengulas isu sama, Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mizan Aslam (gambar) berpendapat tindakan ekstrem mempertahankan sekolah vernakular akan membawa kepada perpecahan masyarakat.

“Punca kepada konflik dan pertembungan dalam masyarakat adalah kerana tindakan yang bersifat ekstrem dan radikal. Tindakan yang ekstrem dan radikal di sini adalah yang tidak meletakkan toleransi sebagai kunci utama

“Ini adalah persoalan kegagalan Malaysia membentuk satu masyarakat yang bertoleransi dalam pelbagai perkara hingga boleh membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan serta boleh berakhir dengan kematian.



“Punca kepada kegagalan ini adalah gagalnya sistem persekolahan yang seumpamanya telah terpisah antara etnik,” katanya ketika dihubungi.

Katanya kegagalan menyemai toleransi ini menjadi “duri dalam daging” kepada negara. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker