Dr Noor Hisham Ketua Pegawai Operasi Kashi Mining ?
Sebuah laman sesawang syarikat perlombongan telah menggunakan gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).
Ia turut memaparkan nama sebagai COO syarikat itu menggunakan nama Aidan Razif di bawah gambar Dr Noor Hisham.
Laman web yang didakwa dimiliki sebuah syarikat perlombongan itu turut memaparkan beberapa lagi gambar individu dipercayai untuk menjerat mangsa kononnya untuk membuat pelaburan.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menegaskan perkara itu adalah palsu dan nama yang tertera di bawah gambar beliau bukan dirinya dan laman sesawang syarikat itu turut memaparkan gambar dan nama beberapa individu dalam barisan pengurusannya.
“Untuk makluman umum, Syarikat Kashi Mining ada menggunakan gambar saya dalam laman sesawang mereka sebagai COO! Jelas ini adalah palsu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Bagaimanapun, carian mendapati laman sesawang syarikat itu sudah tidak boleh diakses.
Pemeriksaan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mendapati tiada syarikat seperti nama itu didaftarkan.
Laman web itu sudah disenaraikan sebagai ‘scammer’ sejak tahun lalu.
You must be logged in to post a comment.