Menelusuri sejarah duit, dari dolar Selat ke Ringgit Malaysia

Dengan perbankan internet dan e-wallet yang semakin berkembang dalam era Covid-19, kebanyakan mula beralih daripada membawa wang tunai.

Namun, wang kertas pertama negara adalah asas utama dalam sejarah pembentukan Malaysia, menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Kurator Galeri Numismatik Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) Wan Muhammad Danial Wan Omar berkongsi dengan FMT mengenai sejarah wang kertas pertama di Malaysia.

Mata wang awal Tanah Melayu adalah dolar Selat, yang diganti dengan dolar Tanah Melayu menggunakan wang kertas dan syiling dikeluarkan Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya, ditubuhkan pada 1938.


Siri pertama Ringgit Malaysia. (Gambar Bank Negara)

Selepas Pejabat Kolonial UK mengambil alih bidang kuasa ke atas Sarawak, Borneo Utara British (kini Sabah) dan Labuan, lembaga itu diganti Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo pada 1952.

Not mata wang yang dikeluarkan adalah untuk digunakan di Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British, Sarawak, Labuan dan Brunei.

Kedua-dua perkataan “dolar” dan “ringgit” tampil pada reka bentuk wang kertas untuk setiap denominasi. Perkataan dolar pula muncul dalam tulisan Roman dan ringgit dalam huruf Jawi.

Walaupun selepas Bank Negara ditubuhkan pada 1959, wang kertas dan syiling yang dikeluarkan oleh lembaga mata wang tetap diedarkan sehingga tidak lagi sah pada 16 Januari 1969.

Muhammad Danial menjelaskan: “Bank Negara Malaysia, sejak 1961, membuat aturan untuk mengambil alih pengeluaran mata wang daripada Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo.

Dolar Selat

“Gagasan Malaysia, yang akan dibentuk melalui gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei, mula diasaskan.”

Namun, dengan Brunei dan Singapura yang kemudiannya terpisah menjadi negara bebas, Malaysia mempunyai tugas untuk menghasilkan wang kertasnya sendiri.

Muhammad Danial berkata, ia melibatkan kerjasama dengan pencetak wang kertas Britain Bradbury, Wilkinson and Company serta Thomas De La Rue and Company untuk menghasilkan reka bentuk.

Ia diikuti dengan penciptaan corak geometri ikonik di samping gambar Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia, yang kini masih dapat dilihat pada wang kertas.

Beliau turut mengalih perhatian pada peruntukan utama dalam pindaan Ordinan Bank Pusat Malaysia yang diluluskan pada 1966, di mana Bank Negara Malaysia mengambil alih kuasa untuk mengeluarkan wang kertas pertama Malaysia pada 12 Jun 1967.

Lima denominasi dikeluarkan pada hari itu: $1, $5, $10, $50 dan $100 – diikuti dengan wang kertas $1,000 pada tahun berikutnya, sesuatu yang belum pernah didengar oleh rakyat Malaysia hari ini.

Simbol mata wang kemudian ditukar menjadi RM pada 1 Disember 1992.

Unsur lain daripada wang kertas asal itu adalah ejaan lama dalam bahasa Melayu, yang menunjukkan RM10 sebagai “sa-puloh ringgit,” RM50 sebagai “lima puloh ringgit,” dan RM100 sebagai “sa-ratus ringgit.”

Ia berubah selepas sistem ejaan baru untuk Bahasa Malaysia dilaksanakan secara rasmi 5 tahun kemudian, kata Muhammad Danial.

“Bank Negara Malaysia mula menggunakan sistem ejaan baru dalam pencetakan wang kertasnya tetapi mengekalkan rekaannya.”

Lima puluh tiga tahun sejak kewujudannya, wang ringgit sudah melalui 4 siri perubahan dan bentuk asalnya kini sukar ditemui.

Bagi mereka yang mahu melihat reka bentuk awal wang kertas itu, Muhammad Danial berkata ia masih boleh didapati di BNM MAG.

Selain Galeri Numismatik yang menempatkan lebih 2,000 artifak, orang ramai juga boleh melihat secara dekat keempat-empat siri wang kertas di Terowong RM1 Juta Ringgit di Galeri Kanak-kanak.

Walaupun ia masih ditutup buat sementara waktu berikutan wabak Covid-19, saluran maya masih dibuka kepada orang ramai yang ingin merasai pengalaman bersama BNM MAG melalui lawatan maya dan program pendidikan dalam talian.

Mereka yang berminat dengan lawatan maya itu hanya perlu klik www.museum.bnm.gov.my

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker