Abdul Hadi MP Pertama Tandatangan SD Sokong Saya Jadi PM – Muhyiddin

Share

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mendedahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Ahli Parlimen pertama menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Presiden Parti Pribumit Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, tindakan Abdul Hadi itu disusuli rakan daripada parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang lain ketika majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Februari lalu.

“Mereka dijemput oleh Al-Sultan Abdullah ke istana (Istana Negara) untuk tanda tangan SD dan saya nak bagi tahu SD pertama yang dibuat adalah daripada Haji (Abdul) Hadi sendiri.


“Orang lain belum buat (SD) dia dah buat dulu. Letak nama saya dalam kertas SD pertama,” katanya mendedahkan perkara itu ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dihadirinya, hari ini.

Turut hadir pada konvensyen ini ialah Abdul Hadi yang mewakili PAS serta pimpinan gabungan PN.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu setelah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Pelantikan itu juga susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Muhyiddin berkata, lantikan beliau sebagai Perdana Menteri berlaku dengan sokongan ahli Dewan Rakyat daripada 12 parti politik tanpa sebarang komplot.

“Saya sendiri pun tidak menjangka menjadi Perdana Menteri. Tetapi oleh kerana berlakunya krisis politik agak rumit ketika itu, rakan pimpinan parti yang membentuk kerajaan PN hari ini mencadangkan nama saya sebagai Perdana Menteri.


“Tak ada komplot. Tak ada skema politik luar biasa untuk ambil alih atau jatuhkan seseorang,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan PN tidak mempunyai manifesto kerana dibentuk ketika krisis politik, tetapi beliau akan tetap mementingkan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Kita tidak ada manifesto kerana dibentuk ketika berlakunya krisis politik yang agak rumit. Walaupun tiada sebarang aku janji, ia tidak bermakna saya boleh lakukan apa saja yang saya suka.

“Tiada manifesto bukan bermakna tiada akauntabiliti kepada rakyat kerana pada saya, sebagai pemimpin perkara itu sangat mustahak, apatah lagi sebagai orang Islam.

“Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat. Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, tempoh enam bulan pentadbiran kerajaan PN adalah terlalu singkat untuk membuat penilaian pencapaian yang lebih komprehensif.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai pencapaian kerajaan PN di bawah pimpinan saya. Ya, saya berusaha melakukan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab saya kepada rakyat.

“Bukan hak saya untuk mengatakan sama ada saya melakukan yang terbaik. Saya serahkan itu kepada rakyat,” katanya. – BH

Leave a Reply