Kerjasama di peringkat pusat terjejas jika PAS, Bersatu menentang GPS pada PRN – Wan Junaidi

PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak seharusnya bertanding menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang kerana ia menjejaskan kerjasama antara mereka di peringkat persekutuan.

Perkara itu ditegaskan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Wan Juandi Tuanku Jaafar (gambar) sambil menambah jika PAS dan Bersatu memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya nanti akan menyaksikan kerjasama antara mereka ketika ini di peringkat pusat tidak dapat direalisasikan.

“PAS berada di sini (Sarawak) sudah lama dan tidak diterima oleh rakyat Sarawak. Maknanya kalau mereka hendak bertanding, kita tidak boleh halang, begitu juga Bersatu.

“Tetapi kalau mereka mahu teruskan kerjasama ini, saya cadangkan mereka tidak menentang kita. Jika mereka memilih berbuat demikian, bermakna kerjasama dengan mereka di peringkat persekutuan sudah tentu berjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Pembangunan Hartanah antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan UDA Holdings Berhad di sebuah hotel di sini, hari ini.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata Bersatu tidak seharusnya menamakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada hubungan antara GPS dan Bersatu yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini hanyalah pandangan peribadi saya, apapun keputusan biarkan pucuk kepimpinan GPS dan perdana menteri yang menentukannya,” ujarnya.

Beliau menambah, atas alasan itu juga UMNO sehingga hari ini tidak membuka cawangannya di Sarawak kerana mahu membuktikan keikhlasan mereka bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan mengekalkan hubungan baik yang terjalin sekian lama.

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz baru-baru ini dalam satu sidang media berkata parti itu mahu bertanding di lebih 10 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata antara kerusi tersebut ialah Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro dan Kuala Rajang manakala kerusi lain akan dibincangkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.

Katanya lagi PAS akan bertanding di lebih banyak kerusi pada PRN akan datang berbanding pilihan raya sebelumnya kerana yakin mendapat sokongan rakyat Sarawak.

Wan Junaidi turut menyangkal dakwaan GPS menyokong PAS kerana kedua-dua parti itu kini dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“GPS tidak dalam PN, tetapi entiti berasingan yang menyokong pentadbiran PN menerusi ‘PN Plus GPS’.

“Walaupun PAS, Bersatu dan UMNO di dalam PN, GPS masih entiti bebas dan kekal dengan ideologi serta pendiriannya sebelum ini khasnya dalam agama,” tegasnya. UB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker