Tiada perjalanan antarabangsa dari AirAsia tahun ini
AIRASIA Group Bhd menjangkakan tiada perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan kumpulan penerbangan itu pada tahun ini disebabkan penularan pandemik Covid-19 belum berakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, impak pandemik itu akan berlarutan dan berkemungkinan mengambil masa untuk pulih sekali gus membuka kembali perjalanan udara kepada situasi normal.
Beliau berkata, kumpulan AirAsia juga bersedia untuk berhadapan situasi sukar jika sempadan kebanyakan negara di dunia ini masih tidak dibuka sehingga akhir tahun ini.
“Kami bersedia jika tiada perjalanan udara dapat dilakukan pada tahun ini. Namun AirAsia mengharapkan krisis kesihatan dan ekonomi global ini akan pulih secepat mungkin dan tidak berlarutan sehingga Disember 2020.
“Kami sentiasa optimistik dalam perniagaan AirAsia. Tetapi kami memerlukan lebih lagi walaupun penerbangan domestik sudah dibuka,” katanya selepas melancarkan AirAsia Shop, platform e-dagang terbarunya di Kuala Lumpur, hari ini.
Ketika ditanya adakah AirAsia akan mengecilkan lagi operasi perniagaan mereka jika keadaan menjadi lebih teruk dan perjalanan udara antarabangsa masih tidak dapat dilaksanakan, Tony berkata, pihaknya mengharapkan ia tidak akan berlaku.
Beliau berkata, bagaimanapun banyak faktor perlu difikirkan dan kumpulan mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan dijalankan.
“Januari 2021 diharap akan lebih baik dan keadaan akan menjadi lebih normal.
“Cuma apa yang menjadi kerisauan ketika ini kepada semua perniagaan adalah jika berlakunya gelombang kedua dan ketiga pandemik Covid-19,” katanya.
Tony turut mengharapkan pemimpin negara Asean yang mempunyai zon hijau lebih berani dan kembali membuka semula sempadan masing-masing demi peningkatan ekonomi serantau.
Beliau berkata, seperti laluan zon hijau Malaysia dan Singapura, ini adalah peluang bagi negara lain seperti Thailand, Vietnam, Kemboja , dan Laos perlahan-lahan dan berhati-hati membuka sempadan mereka, tanpa terlalu banyak risiko.
“Jika anda melihat Thailand, yang memiliki kurang dari 10 kes sehari, mengapa Malaysia dan Thailand tidak memiliki laluan zon hijau.
“Ini kerana Asean adalah antara yang baik dalam menangani krisis pandemik ini. Kami tahu realitinya ketika ini tiada siapa yang bersedia membuka sempadan mereka, tapi apa salahnya jika kita ambil langkah pembukaan ini.
“Ia akan mengambil masa yang panjang untuk semua negara pulih dari pandemik dan perintah kawalan, jadi pembukaan sempadan ini adalah langkah awal,” katanya. HM