Netflix Malaysia biadap hina dan persenda Bahasa Kebangsaan

Share

KEPADA kurator akaun Twitter Netflix Malaysia, warkah ini ditulis dalam tempoh tiga hari sebelum negara kita menyambut Hari Kebangsaan ke-63.

Di saat seluruh rakyat Malaysia berdukacita dengan kejadian gantung bendera terbalik, ada lagi yang masih tidak sensitif dengan perkara yang sudah menjadi identiti negara.

Dalam hal ini, saya merujuk kepada soal bahasa kebangsaan: Bahasa Melayu.


24 Ogos 2020, akaun Twitter rasmi Netflix Malaysia menghantar satu ciapan: “Real talk, what are some of the funniest show titles, kalau we translate to Malay? We’ll start: Bird Box -> Kotak Burung.”

Pautan: https://twitter.com/NetflixMY/status/1297896448068026371?s=19

Ciapan tersebut bertujuan mengajak pengikut untuk menterjemah tajuk filem/drama kepada bahasa Melayu dan kedengaran kelakar.


Sudahlah begitu, ciapan tersebut turut menggunakan bahasa rojak.

Kelakarkah kalian berbuat begitu wahai Netflix Malaysia? Dalam warkah ini saya ingin mengingatkan kurator Netflix  Malaysia tentang beberapa perkara.

1. Jangan mempersendakan bahasa kebangsaan dengan menterjemah secara langsung bahasa asing.


Kerja penterjemahan mempunyai disiplinnya sendiri. Terjemahan bukan kerja mengalih maksud perkataan sahaja, tetapi memerlukan pengertian makna menyeluruh.

Pemilik akaun Twitter @karimmohd_ membalas ciapan tersebut dengan berkata bahawa terjemahan yang tidak cukup bijak akan menyebabkannya jadi bahan ketawa.

Terjemahan tidak seharusnya dilakukan secara literal.

2. Bahasa merupakan elemen penting dalam perlembagaan negara. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perlembagaan tidak menghalang penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa apa sekali pun. Tetapi, tidak perlu kurang ajar memperlekeh bahasa Melayu. Maaf, saya terpaksa terus terang.

3. Dalam salah satu ciapan balas, kurator Netflix Malaysia mempersendakan karya sastera negara dengan mengatakan bahawa terjemahan kepada Jane Si Anak Dara seperti pelajaran Komsas tingkatan empat.

Adakah kuratornya cuba mengatakan bahawa tajuk-tajuk komponen sastera pelajar sekolah sesuatu yang kelakar?

Hal ini amat tidak wajar. Karya sastera dan kreatif merupakan khazanah yang dihasilkan dengan keringat penulis.

Jika anda membaca karya atau menonton filem Inggeris, silakan. Cuma, hormat karya sastera negara kita.

5. Apabila menyentuh soal bahasa, saya selalu cemburu dengan negara jiran. Cuba lihat akaun Netflix Indonesia. Mereka menggunakan bahasa Indonesia dalam ciapan di Twitter. Hal ini wajar dicontohi.

6. Selepas empat hari, ciapan tersebut masih kekal walaupun ramai yang sudah menegur secara terus tetapi, ciapan tersebut tidak dipadam dan tiada permohonan maaf.

Ini menggambarkan sikap tidak sensitif pihak Netflix Malaysia. Oleh kerana itu, surat ini juga ditulis secara terbuka.

Harapan saya, Netflix Malaysia tampil memohon maaf dan memadam siaran tersebut. Kita sudah 63 tahun merdeka.

Sepatutnya tiada lagi keterlanjuran seperti ini. Jika T Alias Taib dalam madahnya dalam Di Sisi Pelita Minyak Tanah mengibaratkan tulisan jawi seperti cincin di jari si anak dara.

Bahasa kebangsaan pula boleh diibaratkan seperti cincin di jari manis sebagai tanda dia milik seseorang, bahasa Melayu ibarat cincin yang menjadi tanda kepada identiti bangsa dan negara.

Sempena bulan kemerdekaan ini, mari kita perelokkan penggunaan bahasa Melayu kita baik dalam penulisan mahupun pertuturan.

Salam merdeka.

Nor Syamimi binti Musa
AJK Seni dan Budaya
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber artikel: FB Mimi Mizisya

Leave a Reply