Akhirnya Musa dapat kebenaran mahkamah cabar Shafie
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akhirnya dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2018.
Setelah berbalas hujah selama hampir seharian hari ini, tiga panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan berikut setelah mendapat majoriti 2-1.
Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof yang turut bersidang membuat keputusan memihak kepada Musa manakala Mohd Zawawi menentang.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Musa bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Jahid@Noordin Jahim untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Abdul Rahman membenarkan permohonan itu dengan 10 isu perundangan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan tersebut.
Sebelum ini, sekitar November 2018 lagi, Musa dan Jahid mengemukakan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 28 Nov tahun lepas menolak rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah berpendapat rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Musa telah dilakukan secara sah dan mengikut Perlembagaan Sabah.
Manakala Mohd Zawawi pula berpandangan dalam penghakimannya menolak kerana tidak ada isu ‘hidup’ lagi dalam kes tersebut.
Dalam pada itu, Musa dalam satu kenyataan turut melahirkan rasa syukur.
“Syukur. Alhamdulilah saya ucapkan kepada Allah akhirnya saya dibenarkan untuk meneruskan permohonan rayuan dalam menentukan kebenaran saya adalah Ketua Menteri yang sah.
“Seperti saya katakan sebelum ini, ini bukan tentang saya. Ini tentang kebenaran dan keadilan buat rakyat Sabah berpandukan perlembagaan,” ujarnya. –MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.