Sukuk Prihatin: Melabur serendah RM500

Dengan pelaburan serendah RM500, Rakyat Malaysia boleh melabur dalam Sukuk Prihatin, satu inisiatif di bawah di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu usaha kerajaan membina semula negara pasca krisis pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana yang terkumpul akan disalurkan terus kepada inisiatif-inisiatif yang dapat menambah baik taraf kehidupan rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, kadar keuntungan adalah dua peratus setahun bagi tempoh matang dua tahun manakala keuntungan akan dibayar pada setiap suku tahun.

“Anda juga boleh memilih untuk menyumbang jumlah prinsipal pelaburan dan ini akan diberi potongan cukai.

“Ayuh semua! Mari kita bersama memacu masa depan Malaysia dengan melabur di dalam Sukuk Prihatin!” katanya di Facebook, hari ini.

TENGKU ZAFRUL TENGKU AZIZ
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan media menjelaskan, sukuk yang tidak mempunyai had pelaburan maksimum itu boleh dilanggan menerusi JomPAY atau DuitNow yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di negara ini.

Selain itu, Maybank merupakan bank pengedar utama bagi Sukuk Prihatin yang juga instrumen patuh syariah berlandaskan prinsip tawarruq melalui pengaturan komoditi murabahah untuk rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

“Sukuk Prihatin akan diperuntukkan berdasarkan tarikh dan masa langganan yang paling awal. Tempoh tawaran bagi Sukuk Prihatin adalah dari 18 Ogos hingga 17 September 2020,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kewangan menambah, sukuk dengan sasaran jumlah keseluruhan terbitan bernilai RM500 juta itu merupakan instrumen yang sesuai untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan.

Untuk maklumat lanjut tentang terma dan syarat Sukuk Prihatin, sila hubungi bank-bank terlibat atau layari https://penjana.treasury.gov.my/ . – Edisi 9

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker