Redzuan Yusof tewas pemilihan naib presiden PPBM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Yusof gagal mendapat tempat dalam barisan kepimpinan baru PPBM setelah tewas dalam saingan merebut salah satu daripada 3 jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu.

Dalam satu kenyataan, PPBM mengumumkan 3 naib presidennya yang baru, iaitu menteri pusat Ronald Kiandee dan Radzi Jidin, serta orang kuat PPBM Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen.

Jawatan pengerusi PPBM tidak dipertandingkan selepas bekas pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad terbatal keahlian beliau sebelum ini.

Dalam pada itu jawatan presiden kekal dimenangi oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan timbalannya disandang oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu susulan tiada pertandingan bagi 2 jawatan itu.

Redzuan merupakan seorang daripada 16 calon yang bertanding merebut jawatan naib presiden PPBM. Turut tewas ialah pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang.

Redzuan adalah antara ahli awal PPBM dan merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Bagi 20 jawatan ahli MPT pula, terdapat muka-muka baru dipilih, termasuk Menteri Ekonomi, Mutapa Mohamed; Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kerjaraya, Eddin Syazlee Shith; Timbalan Menteri Undang-Undang, Shabuddin Yahya;Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid dan bekas menteri besar Johor Dr Sahruddin Jamal.

Turut diumum sebagai pemenang jawatan ahli MPT ialah Abdul Hakim Gulam Hassan, Zainol Fadzi Paharudin, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Razali Idris, Wan Saiful Wan Jan, Azlinda Abdul Latif, Taufik Yaacob, Rafiq Abdullah, Lajim Ukin, Suhaili Abdul Rahman, Mohamed Farid Mohamed Zawawi, Zulkifli Zakaria, Yazid Yunus dan Shamsilah Siru.

Jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap pula masing-masing dimenangi oleh Mohd Suhaimi Abdullah dan Hisham Suboh.

Pemilihan PPBM diadakan secara serentak semalam melibatkan 23,438 perwakilan yang mengundi dalam persidangan bahagian.

Daripada 179 bahagian PPBM, 177 daripadanya berjaya menjalankan persidangan, sementara 2 gagal bermesyuarat kerana tidak cukup korum. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker