Penguasaan BM Guan Eng Teruk, Tangguh dan Batal Pun Tak Dapat Beza – Ka Siong
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dakwaan bekas Menteri Kewangan yang mengatakan peruntukan untuk projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berjumlah RM800 juta telah diluluskan dalam Belanjawan 2020.
Katanya, beliau juga telah membuat semakan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan MAHB mengesahkan tiada sebarang peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada mereka untuk menaik taraf LTAPP seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng.
Sebaliknya MAHB sememangnya telah lama merancang untuk menggunakan simpanan dalaman syarikat untuk menampung kosnya berdasarkan konsep ‘Regulated Asset Based’ (RAB).
Namun begitu, konsep RAB ini tidak pernah diluluskan di bawah pemerintah PH.
“Pelik betul Lim Guan Eng ini, dia kata dia umum peruntukan RM800 juta untuk LTAPP tapi Buku Belanjawan 2020 tak jumpa butiran.
“Takkanlah dia umum peruntukan syarikat korporat di dalam Dewan Rakyat untuk kelulusan termasuk di Dewan Negara?
“Kalau begitu, syarikat awam (public listed company) tak payahlah mengadakan AGM lagi! Hahaha,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan Ka Siong itu adalah untuk menjawab dakwaan Guan Eng sebelum ini yang mengatakan para pengundi di Pulau Pinang akan menghukum kerajaan Perikatan Nasional kerana mengamalkan politik balas dendam apabila sengaja membatalkan projek-projek pembangunan di negeri itu.
Tambah Ka Siong, semua cadangan pembinaan lapangan terbang baharu dan cadangan menaik taraf ditangguhkan akibat kesan penularan Covid-19 kerana sektor penerbangan dianggarkan hanya pulih sepenuhnya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan akan menjalankan satu Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang (NASP) ke atas 42 lapangan terbang sedia ada.
“Ketika saya menjawab di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu, saya menyatakan bahawa semua cadangan baru pembinaan lapangan terbang dan cadangan menaiktaraf lapangan terbang perlu ditangguhkan akibat kesan daripada penularan wabak Covid-19 terhadap sektor penerbangan dianggarkan hanya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
“Nampaknya penguasaan dan pemahaman Bahasa Malayasia Guan Eng juga teruk.
“Guan Eng, tak faham ke perbezaan di antara ‘penangguhan’ dan ‘pembatalan’ projek?” katanya lagi.
Tambah Ka Siong, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, MAHB telah mengalami kerugian dan membelanjakan lebih dari RM1bilion demi menampung pengoperasian lapangan terbang.
“Takkan MAHB tidak berhak membuat penjajaran belanjawan syarikatnya dan meletakkan keutamaan (priority) yang betul dalam menghadapi cabaran pasca COVID-19?,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.