Dosa lalu PH buka peluang BN menang di Slim

Kegagalan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerajaan lalu yang diumpamakan pihak lawan sebagai dosa diyakini memberi peluang kemenangan amat besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyatakan keyakinan itu berlandaskan penolakan rakyat terhadap kerajaan terdahulu yang merekodkan sejarah paling singkat mentadbir negara hanya membabitkan tempoh 22 bulan.

Menurutnya, sokongan rakyat pula dilihat beralih arah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang seterusnya menjadi semakin padu selepas membuktikan kecemerlangan menerusi kebijaksanaan menguruskan cabaran paling getir negara berhadapan isu global iaitu penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Kalau soal menang sudah pasti kerana sokongan rakyat begitu kuat terhadap kerajaan PN.

“Saya yakin rakyat Slim akan mewakili suara rakyat Malaysia yang menunjukkan sokongan kepada kerajaan PN dan menolak PH atas dosa-dosa mereka mentadbir negara selama 22 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Pertanian Bandar di Perkarangan Masjid An-Nur di sini hari ini.

PRK DUN Slim nanti bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz ditentang calon Bebas mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) iaitu peguam syarie, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili kem bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi turut bertanding calon Bebas, Santhara Sekaran Subramanian, 42, ialah seorang bekas guru.

Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, BN bukan sahaja dijamin menang, malah kempen dilakukan turut memberi tumpuan bagi memastikan dua calon pihak lawan yang bertanding hilang wang deposit pertaruhan.

“Kempen sedang berjalan dan saya pun baru balik dari kawasan pilihan raya.

“Saya juga turut membantu kempen calon BN bukan sahaja untuk menang malah menghilangkan deposit pihak lawan sebab menang sudah gerenti,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

PRK tersebut dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos dengan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian awal pada 25 Ogos.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker