Najib gesa kerajaan, SPRM siasat projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang

Najib Razak mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Dalam catatan melalui Facebooknya hari ini, Najib turut melampirkan surat antara sebuah syarikat dan bekas pegawai atasan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan mendakwa pengunduran secara tiba-tiba pegawai itu mungkin ada kaitan dengan projek berkenaan.

Katanya, projek pembesaran PIA diluluskan oleh pentadbirannya pada 2017 dan rancangannya adalah untuk memperluas kapasiti dari 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta.

MAHB diarahkan untuk memulakan kerja pada 2018, namun Najib berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), projek itu dihentikan kerana kerajaan memberi alasan tidak mempunyai wang untuk membiayai anggaran kos lebih RM1.2 bilion.



“Sebab itu, projek tersebut perlu diswastakan dengan menggunakan kaedah private finance initiative (PFI),” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata kenyataan mengenai ketiadaan dana itu tidak berasas kerana MAHB yang akan membayar kos berkenaan dan mempunyai kemampuan kewangan untuk melakukannya kerana memperoleh keuntungan lebih dari RM1 bilion setahun, dan memiliki rizab tunai dan kewangan mencecah RM2 bilion.

“Bukan kerajaan yang tanggung. MAHB yang tanggung,” katanya.

Beliau melampirkan surat yang didakwa daripada pemaju di Pulau Pinang, mencadangkan projek pembesaran untuk PFI.



Najib berkata, bagaimanapun MAHB menolak rancangan penswastaan berkenaan dan bertegas mahu membiayai pembesaran lapangan terbang itu sendiri dengan kapasiti 12 juta penumpang dengan kos RM800 juta, bukannya RM1.2 bilion bagi kapasiti 16 juta penumpang.

Katanya, malah bekas CEO kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin mengumumkan pada 25 Disember tahun lalu yang kerja pembesaran PIA akan dimulakan tidak lama lagi.

Tetapi 12 hari kemudian Raja Azmi tiba-tiba mengumumkan peletakan jawatan walaupun tidak sampai setahun dilantik ke jawatan itu.

“Saya rasa ia lebih elok jika kerajaan PN dan SPRM menyiasat,” katanya. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker