Pertemuan UMNO-PAS perjelas pendaftaran PN
SLIM RIVER: Esok, UMNO akan mengadakan pertemuan dengan PAS bagi mendapatkan penjelasan mengenai penyertaan parti itu dalam pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perjumpaan itu akan diadakan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini, 9 malam.
“Malam esok ada perjumpaan dengan Muafakat Nasional di mana Presiden PAS (Abdul Hadi) dan saya akan bersama-sama (dalam pertemuan itu).
“Ada mesej tertentu yang mahu kami sampaikan, sebagaimana yang diketahui kini PAS sudah bersama dengan BERSATU mendaftarkan partinya sebagai gabungan rasmi di dalam PN.
“Ini akan diperjelaskan esok, tentunya ada mesej tertentu di mana MN akan terus diperkasa dan diperkukuhkan, bukan hanya UMNO dan PAS tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC tetap bersama,” katanya selepas mengadakan ziarah kasih di Felda Besout 2 di sini, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan mengesahkan parti itu bersama BERSATU dalam proses menubuhkan PN.
Katanya, walaupun gabungan MN tidak didaftarkan, ia adalah gabungan kesepakatan politik parti yang menyokong PN.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam pusingan minggu terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, BN mengambil pendekatan melawat rumah ke rumah.
“Semua pemimpin UMNO, PAS dan parti lain yang membantu kita menggunakan pendekatan sama,” katanya. – BH