Surat sokongan tak jamin dapat jawatan, kata Ismail

Pemberian sokongan termasuk menandatangani surat permohonan bukan jaminan untuk seseorang individu mendapat jawatan dalam mana-mana organisasi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata keputusan untuk melantik individu untuk mana-mana jawatan dalam organisasi adalah hak organisasi terbabit.

“Macam-macam orang datang minta sokongan daripada saya dan saya akan sokong. Sokongan bukan bermakna (permohonan) dipenuhi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Slim River di Felda Besout 2 dekat Tanjung Malim, hari ini.

Dia mengulas mengenai sokongannya terhadap surat permohonan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz agar anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat farmaseutikal yang tular sejak semalam.

Ismail Sabri berkata dia menyokong permohonan itu kerana anak timbalan menteri terbabit merupakan seorang graduan dalam bidang kejuruteraan awam dan peniaga yang berjaya, seterusnya berpotensi membantu syarikat farmaseutikal berkenaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata walaupun permohonan itu mendapat sokongannya, namun difahamkan pihak Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemilik syarikat farmaseutikal tersebut tidak melantik anak timbalan menteri berkenaan.

“Saya tidak campur tangan daripada segi pelantikan. Itu kuasa LTAT, jadi surat (permohonan sokongan) setakat surat,” katanya.

Dia turut memuji timbalannya kerana tidak menyalahgunakan kuasa dengan secara terus mengajukan surat permohonan pelantikan anaknya kepada LTAT.

“Dia (timbalan menteri) tak perlu hantar kepada saya (surat permohonan sokongan), dia boleh terus (hantar) kepada pengerusi syarikat kerana pelantikan ahli lembaga pengarah adalah daripada pihak LTAT sendiri,” katanya.

-Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker