Sumber: Rahman cuma mahukan autonomi penuh buat Umno Sabah

PRN SABAH | Tindakan anggota Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan menolak pelantikan Bung Moktar Radin selaku ketua jentera BN Sabah adalah manifestasi sikap bekas menteri itu terhadap kegagalan parti itu mendapat autonomi sendiri.

Menurut sumber, Abdul Rahman kurang senang dengan tindakan pimpinan Umno pusat yang masih campur tangan dalam beberapa hal dalaman Umno Sabah.

“Rahman kurang senang dengan keputusan Umno pusat yang membuat keputusan tanpa merujuk kepada Umno Sabah yang diberikan kuasa autonomi.

“Walaupun diberi autonomi, namun beberapa perkara masih perlu merujuk kepada Umno pusat. Malah, beliau sendiri tak diberi peluang untuk berjumpa presiden,”

Misalnya, kata sumber berkenaan, berhubung calon yang akan diturunkan menghadapi Warisan dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri pada 26 Sept ini.

Ketika ini, katanya, semua urusan berkenaan calon masih perlu dirujuk ke Kuala Lumpur sedangkan Umno Sabah dikatakan memiliki autonominya sendiri.

Tiga hari lalu, Abdul Rahman membuat kejutan apabila mengadakan sidang media untuk mengkritik pelantikan Bung Mokhtar sebagai pengarah pilihan raya BN.

Selain menganggap langkah tersebut sebagai ‘membunuh diri’, Abdul Rahman juga melihatnya sebagai suatu penghinaan buat mereka.

Tak ada kaitan dengan Musa

“Tidak ada mana-mana dalam dunia akan meletakkan seseorang yang ada kes mahkamah yang aktif menjadi pemimpin parti yang akan bertanding pilihan raya,” katanya.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet Najib Razak itu mendakwa pemilihan Bung Moktar tidak dibincangkan dengan akar umbi di negeri itu sebelum diumumkan.

Semasa mempertahankan pemilihan Bung Moktar, Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan munasabah untuk ahli parlimen Kinabatangan itu dilantik mengetuai jentera pilihan raya BN.

Sementara itu seorang lagi sumber mendakwa tidak ada apa-apa isu besar di sebalik pelantikan Bung Moktar, sebaliknya Abdul Rahman mahu memimpin sendiri jentera pilihan raya BN Sabah.

“Sebenarnya tak ada apa-apa isu, cuma Rahman cuba menjadi pengarah jentera BN Sabah saja.

“Kenapa sekarang baru bangkitkan isu ini? Kenapa tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis lagi dia mempersoalkan kedudukan Bung Moktar?

“Kenapa sekarang beliau mempersoalkan perkara itu? Kerana dia nampak peluang yang ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan tindakan Abdul Rahman tiada kaitan dengan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.

Jelasnya, Musa tidak lagi mahu berada di barisan hadapan Umno untuk menghadapi PRN Sabah.

“Ini tiada sebarang kaitan dengan Musa meskipun orang tahu yang Abdul Rahman adalah orang Musa,” katanya lagi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker