Hampir 20,000 tandatangan petisyen desak Khairuddin letak jawatan

Setakat ini hampir 20,000 tandatangan telah dikumpul satu petisyen dalam talian bagi mendesak Mohd Khairuddin Aman Razali meletakkan jawatan sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi, yang dilaporkan tidak menjalani perintah kuarantin baru-baru ini.

Ketika berita ini ditulis, seramai 18, 606 telah menandatangani petisyen di Change.org yang dimulakan dua hari lalu, bagi mendesak peletakan jawatan tersebut.

Menurut petisyen itu, Khairuddin yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS telah sengaja melanggar arahan kuarantin kendiri apabila hadir ke Dewan Rakyat walaupun belum cukup tempoh 14 hari selepas pulang dari Turki.

“Walaupun beliau telah disahkan negatif pada pemeriksaan awal, namun rakyat yang lain juga yang disahkan negatif mesti melalui tempoh kuarantin yang sama. Tidak kira siapa pun beliau.

“Oleh itu, rakyat Malaysia mendesak supaya YB Menteri meletakkan jawatan kerana dengan sengaja melanggar arahan kuarantin dan boleh mengakibatkan wujudnya kluster baru yang kita tidak jangka pada masa akan datang,” menurut petisyen itu.

Perkara itu pada mulanya dibangkitkan Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu. Menurut wakil rakyat DAP itu, Khairuddin mengadakan lawatan ke Turki pada 3 hingga 7 Julai.

Khairuddin didapati hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai, iaitu kurang dari 14 hari tempoh kuarantin yang ditetapkan.

Selain itu, setakat semalam laman Facebook anggota Parlimen Kuala Nerus itu turut dikemas kini dengan pelbagai aktivitinya bertemu orang ramai sebelum ia dipadamkan kemudian.

Untuk rekod, pada sidang 13 Julai itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dengan Azhar Harun sebagai speaker Dewan Rakyat.

Setakat ini, Khairuddin belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, sebaliknya meminta orang ramai menunggu kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

Hari ini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata tidak boleh ada sikap dua darjat dalam isu kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan wabak Covid-19.

“Tidak ada yang atas terlepas, orang bawah terkena; tidak ada orang di atas tak kena tangkap, orang bawah kena gari… tak boleh macam itu,” katanya seperti dipetik portal Sinar Harian hari ini, ketika mengulas isu tersebut.

Related Articles

3 Comments

  1. Alah double standard betoilah walaun2 ni. Masa menteri PH buat salah dulu, ingat x ttg isu pencemaran sungai di johor dulu, knp x buat petisyen suruh menteri alam sekitar letak jwtn? Bengong betullah hangpa ni.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker