Sedekah Man Raja Lawak diragui
Sedekahnya ikhlas, umpama tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Bagaimanapun, niat baik pelawak, Man Raja Lawak, 43, disalahertikan dan diragui.
Sebelum ini, Man atau nama sebenarnya, Abd Rahman Kasim berkongsi wang kemenangan ketika menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 berjumlah RM50,000 kepada rakyat Malaysia yang berdepan kesempitan hidup ketika pandemik COVID-19 menular.
Man mengumumkan menghulurkan sumbangan menerusi laman Instagram (IG) pada 31 Mac lalu selepas terpanggil membantu mereka terputus rezeki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dianggarkan 70 individu dan keluarga mendapat bantuannya.
Selepas lima bulan berlalu, timbul pula dakwaan pelawak kelahiran Selayang, Selangor itu menipu dan bercakap kosong. Seorang individu mendakwa Man menipu rakyat Malaysia kononnya memberi bantuan ribuan ringgit semata-mata mahu kelihatan ‘hero’ pada mata masyarakat.
Tuduhan individu berkenaan dikongsi Man dalam entri laman sosial, Instagram (IG), beberapa hari lalu. Man kemudian mengajak individu berkenaan ke balai polis bagi mengemukakan bukti. Tidak berakhir di situ, individu terbabit mencabar Man mengemukakan saman dan mendakwa mengenalinya dengan rapat.
Juara program Raja Lawak musim kelima itu berkata, dia memaafkan individu menyebarkan fitnah dan mendakwanya menipu rakyat Malaysia soal bersedekah.
Katanya, dia enggan memanjangkan isu berkenaan hingga memberi tekanan kepadanya dan keluarga.
“Saya tak mahu isu ini memberi tekanan pada isteri dan anak kemudian hari. Biarlah individu itu menganggap saya menipu dan apa saja, saya maafkan dia.
“Tetapi, jika ada masalah dengan saya, dia boleh berjumpa. Saya takkan marah, sebaliknya akan peluk dia,” katanya kepada BH Online.
Man berkata, sekiranya membawa tuduhan berkenaan ke pihak berkuasa sekalipun, sukar untuknya mengesan individu berkenaan kerana ramai menggunakan akaun palsu.
“Sekarang, ramai meninggalkan komen menggunakan akaun palsu, jadi saya malas nak layan. Sememangnya, individu meninggalkan komen berkenaan melampau dan berani kerana ini bukan bahan lawak. Apabila difikirkan semula, tiada guna saya melatah.
“Jika dibuktikan sekalipun saya bersedekah, ia bermakna saya mendedahkan maklumat orang yang mendapat sedekah itu. Saya enggan dituduh riak. Jadi, biarlah, apa pun orang nak kata.
“Secara jujurnya, kehidupan saya tetap sama selepas menang program MLM 2019. Saya tetap naik motosikal kapcai macam dulu, jadi terpulanglah orang nak kata apa,” katanya.
Sementara itu, Man turut meluahkan perasaan kesal apabila penurunan berat badan turut menjadi pertikaian.
Katanya, punca penurunan berat daripada 98 kepada 68 kilogram disebabkan mengambil minuman kesihatan berperisa koko sejak pertengahan Februari lalu.
“Ada yang menuduh saya potong usus, berpenyakit kencing manis dan mengambil benda terlarang.
“Saya hanya mengambil minuman kesihatan berkenaan yang membuatkan selera berubah. Saya kurang makan nasi dan makanan manis.
“Ada juga mendakwa produk diminum beracun. Jika beracun, sudah tentu Kementerian Kesihatan tidak memberi sijil dan kelulusan. Dakwaan ini secara tak langsung memberi kerisauan kepada orang lain yang minum minuman berkenaan,” katanya yang baru saja selesai merakamkan travelog terbitan RTM, Cari Port Baik Punya di Teluk Kemang, Negeri Sembilan. BH
You must be logged in to post a comment.