8 rakyat Malaysia terkandas di Nigeria dibawa pulang – Wan Junaidi
WAN JUNAIDI BERJAYA BAWA PULANG
8 RAKYAT MALAYSIA TERKANDAS DI NIGERIA
Kejayaan membawa pulang lapan orang rakyat Malaysia yang terkandas di Nigeria dan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini merupakan satu kejayaan yang amat disyukuri selepas lebih lima bulan mereka terkandas akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Mereka terkandas di negara tersebut kerana urusan kerja dan usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas ini giat dilakukan melibatkan rundingan di peringkat pimpinan negara antara Malaysia dengan Nigeria yang diketuai oleh Wan Junaidi , Menteri Pembangunan Usahawan dan Kooperasi serta Kedutaan Malaysia di Nigeria.
Selama terkandas di sana, Kedutaan Malaysia sangat membantu dari segi tempat tinggal, makan minum dan juga proses pulang ke tanah air.
Kesemua 8 rakyat Malaysia yg terlibat adalah berasal dari negeri Sarawak. Salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas, Aloh anak Buyai berkata, perasaan gelisah bercampur baur dengan bimbang kerana terkandas di negara orang.
Tambahan pula ketika itu katanya, mereka diberitahu bahawa lapangan terbang di Lagos, Nigeria hanya akan beroperasi pada bulan Oktober.
“Namun perasaan itu bertukar gembira apabila diberitahu mereka boleh pulang lebih awal.”
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pihak kedutaan Malaysia di Nigeria dan semua pihak yang membantu kami hingga kami selamat tiba ke tanah air,” katanya.
Aloh berkata, selepas insiden itu beliau tidak akan meninggalkan tanah air lagi selepas ini.
“Biarlah saya mencari rezeki dan kerja di Malaysia sahaja,” katanya lagi.
Seorang lagi rakyat Malaysia yang terkandas, July anak Jantan turut mengucapkan syukur kerana akhirnya berjaya pulang ke tanah air.
“Sepanjang terkandas di Nigeria, saya sentiasa berdoa kami semua boleh kembali segera ke Malaysia. Perasaan gusar, risau dan tambahan pula kerisauan dengan timbulnya pelbagai penyakit di sana membuatkan saya makin tidak tentu arah. Ini merupakan pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu terutamanya Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang tidak berhenti membantu proses membawa pulang lapan orang rakyat Malaysia yang terkandas ini.
Sementara itu, Dato Sri Wan Junaidi juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Nigeria atas bantuan yang dihulurkan bagi memastikan misi ini berjaya dilaksanakan.
Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua penjawat awam yang telah bekerja keras membantu kepulangan rakyat Malaysia ini terutamanya mereka di Kedutaan Besar Malaysia di Nigeria dan juga Konsul Kehormat Malaysia di Nigeria.
Dato Sri Wan Junaidi juga mengingatkan kepada semua yang pulang ke Malaysia ini supaya mengikuti arahan kerajaan untuk tempoh 14 hari kuarantin wajib setelah tiba di Sarawak.
You must be logged in to post a comment.