PKR tetap guna lambang sendiri di Sabah
Menurut presidennya, Anwar Ibrahim, mereka memutuskan untuk kekal bertanding menggunakan lambang PKR.
Kata Anwar memang ada cadangan untuk PH menggunakan lambang Warisan sebagai salah satu strategi memenangkan Warisan – yang menjadi kerajaan Sabah sebelum ini – ketika berhadapan dengan lawan mereka.
“Ada cadangan (guna lambang Warisan) tetapi PKR putuskan untuk guna lambang PKR,” katanya menerusi rakaman audio yang diberikan kepada media hari ini.
Anwar berkata demikian semasa ditemui wartawan di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.
Sebelum ini Amanah ada menyarankan agar PH menggunakan logo Warisan dan cadangan itu akan diteliti kepemimpinan parti.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata saranan tersebut akan diputuskan selepas PH berbincang dengan rakan sekutu mereka di Sabah.
Bukan petadan baik
Untuk rekod Warisan menjadi kerajaan Sabah melalui pilihan raya yang diadakan serentak dengan negeri lain – kecuali Sarawak – pada 2018. Ketika itu juga PH berjaya menguasai Putrajaya daripada BN.
Bagaimanapun dalam PRN akan datang, cabaran dihadapi Warisan dan PH lebih getir kerana mereka kini menghadapi Perikatan Nasional yang merupakan kerajaan pusat.
Sementara itu Anwar yang juga pengerusi PH berkata, pembahagian kerusi yang adil akan dibuat dalam kalangan parti gabungan untuk menentukan calon yang layak bertanding pada PRN Sabah.
“Dalam tradisi kita memang ada rundingan diteruskan supaya ada konsensus dan pembahagian yang adil akan dibuat bagi tentukan calon yang berkelayakan dan berwibawa,” katanya lagi.
PRN Sabah dijadual berlangsung pada 26 Sept manakala hari penamaan calon ialah kira-kira dua minggu sebelum itu.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson menyifatkan dakwaan kononnya enam wakil rakyat Amanah akan melompat ke Bersatu sebagai tidak berasas.
“Ini hanya politik secara dasar dan kata-kata katak lompat sahaja,” katanya lagi.
Anwar turut menambah, isu berkenaan merupakan strategi kerajaan untuk melemahkan pembangkang.
“[..] Realiti kita ada kerajaan yang rapuh meskipun dengan usaha penambahan kementerian, kerajaan masih tak boleh lepasi bilangan kerusi lebih 50-50 (peratus).
“Bukan tanda baik untuk kerajaan,” katanya lagi.