Lima sebab mengapa Bersatu sertai Muafakat Nasional

SHAH ALAM – Di sebalik kecaman dan kritikan diterima oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pemimpin parti itu tampil menjelaskan lima sebab utama mengapa mereka menyertai Muafakat Nasional.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris menegaskan bahawa penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional adalah setelah parti itu menerima jemputan daripada UMNO dan Pas.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu berkata, sebab kedua adalah demi mewujudkan penyatuan nasional membabitkan parti terbesar Melayu, Islam dan pribumi itu.

“Sebab ketiga adalah bagi membina wawasan keterbukaan dengan membentuk satu gagasan besar di Semenanjung dan bersepakat dengan komponen (parti-parti) di Sabah dan Sarawak dan keempat adalah sebagai bukti Bersatu tidak jumud dengan perkauman.

“Sebab kelima pula bagi menyasarkan gabungan parti-parti yang terbabit ini untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan dua pertiga majoriti,” katanya kepada Sinar Harian mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Duduki.

Terdahulu, Asyraf tampil mewakili akar umbi parti itu dengan mendakwa ahli UMNO melahirkan rasa tidak senang dengan pengumuman Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional.

Berikutan itu, Ketua Pemuda UMNO itu menyenaraikan lima sebab utama yang menurutnya memperlihatkan kemarahan dan keresahan ahli akar umbi parti berkenaan.

Perkara utama dibangkitkan Asyraf adalah berkaitan ‘pengkhianatan’ 15 anggota Parlimen Bersatu yang dalam pilihan raya lalu memenangi kerusi atas tiket Barisan Nasional.

Kedua, menurutnya, penubuhan Bersatu sendiri pada peringkat awal sebelum PRU14 adalah serpihan UMNO yang menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga runtuhnya kerajaan BN buat pertama kali dalam sejarah.

Ketiga, kenyataan-kenyataan berupa penghinaan terhadap UMNO oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri begitu dalam kesannya yang amat menggores perasaan ahli akar umbi.

Keempat pula adalah kedudukan Bersatu yang dilihat berpecah kepada beberapa kumpulan mencetuskan persepsi ramai bahawa parti Bersatu hanya mahu menyelamatkan kepimpinan tertentu berbanding agenda penyatuan ummah dan perjuangan membela rakyat.

Sementara kelima, berbanding dengan pembentukan kerjasama dengan Pas yang melalui proses yang panjang termasuk lebih 700 siri ceramah penyatuan ummah di peringkat akar umbi sehinggalah dibawa ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO untuk dibahaskan dan dipersetujukan bersama, penyertaan Bersatu ini dilihat ahli akar umbi semacam suatu yang terdesak dan terburu-buru.

Mengulas lanjut, Razali membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu yang bagi beliau, Aysraf sebenarnya tidak perlu berfikiran sempit seperti katak di bawah tempurung dengan memperlekehkan Bersatu.

Ini kerana, katanya, Bersatu menang dalam PRU14 yang lalu.

“Malah sepatutnya Aysraf memberi penjelasan yang positif kepada akar umbi supaya mereka semua menerima dengan apa yang ada pada ketika ini dan memberi tumpuan membangunkan ekonomi yang diterajui oleh Kabinet Perdana Menteri yang pada masa ini ada menteri dari UMNO dan Pas,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker