Ketua bahagian keluar parti, Bersatu Bahagian Bangi dibubarkan [Video]

[KGVID]https://mykmu.net/wp-content/uploads/2020/08/Bersatu-Bangi-Bubar.mp4[/KGVID]

BANGI – Lebih 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bangi (Serdang) dijangka ‘angkat kaki’ daripada parti itu apabila ketua mereka mengesahkan pembubaran bahagian itu hari ini.

Ketua Bersatu Bahagian Bangi, Mohd Sufian Mat Junus berkata, sebanyak lima daripada 11 cawangan bahagian itu juga telah dibubarkan secara rasmi serentak keputusan dibuat mesyuarat khas jawatankuasa Bersatu Bahagian Bangi.

Menurutnya, pengesahan itu sekali gus menyangkal kenyataan dibuat oleh Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Bangi semalam yang cuba menafikan pembubaran bahagian itu.

“Hanya lima yang tidak bersama kami iaitu Timbalan Ketua bahagian, Ketua Armada bahagian, Ketua Sri Kandi bahagian dan dua Ahli Jawatankuasa bahagian.

“Saya selaku ketua bahagian secara rasmi setelah mendapat keputusan seluruh Ahli Jawatankuasa untuk meletak jawatan bersama saya. Dengan itu saya menzahirkan pembubaran Bersatu Bahagian Bangi dengan rasminya,” katanya pada sidang akhbar pembubaran rasmi Bersatu Bahagian Bangi (Serdang) di sini hari ini.

Mohd Sufian berkata, perjuangan bersama Bersatu terhenti selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu yang disifatkan melanggar perlembagaan Bersatu.

Sehubungan itu, katanya, perjuangan akan diteruskan bersama bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengumumkan penubuhan parti baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN

‘Gelombang keluar Bersatu dijangka merebak ke seluruh negara’

Menurutnya, keputusan beliau meninggalkan parti hari ini tidak dibuat secara terburu-buru sebaliknya memberi laluan kepada keputusan mahkamah terlebih dahulu.

“Ini bukan mengenai perjuangan ikut Dr Mahathir. Kita ahli parti merasai apa yang berlaku. Kita bukan ikut beliau tapi ikut perjuangannya untuk memartabatkan bangsa Melayu.

“Ada seorang menteri hubungi saya. Namun saya kata keputusan telah dibuat, prinsip tidak boleh digadai dan saya tidak mahu dilihat sebagai orang yang tidak berprinsip,” dakwa beliau.

Sementara itu, Naib Ketua Timbalan Bersatu Bahagian Bangi, Hizri Hasshan berkata, Timbalan Ketua Bahagian Bangi tidak pernah dilantik sebagai pemangku ketua bahagian.

“Fasal 30.1 perlembagaan Bersatu hanya merujuk kepada pembubaran Bersatu dan fasal tersebut tidak terpakai bagi pembubaran Bahagian.

“Lanjutan daripada pembubaran Bersatu Bahagian Bangi ini, maka pihak kami mengembalikan semula segala punca kuasa di bawah perlembagaan parti kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang akan dipilih dalam pemilihan.

“Ini untuk menubuhkan semula jawatankuasa penaja Bahagian Bangi dengan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (Ros) selaras Fasal 11.2 dan Fasal 19.10 perlembagaan Bersatu,” katanya.

Difahamkan, Bersatu Bahagian Bangi mempunyai seramai 1,200 ahli, bagaimanapun hanya 500 sahaja dikatakan masih sah dan aktif.

SH

Related Articles

One Comment

  1. Hahaha ado den kesah?? Yang terlibat tu ahli2 bersatu je.. Pimai2 tang tu gak.. Yang kecoh nak ikut si saka tuo tu semua sel hotak dah tak berhubung lagi … Bagus bona bersatu semua bubar.. Biar mudah MN menang si pru 15 nanti… Parti baru sisaka tuo jgn harap lah nk menang.. Klu nk perjuangkn melayu..korang tak menumpang dan jilat dap dulu2.. Hahaha

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker