Bersatu Perak masih kukuh: Zainol Fadzi

Share

IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak masih kukuh walaupun terdapat segelintir ahli mengumumkan keluar parti untuk bersama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sehingga kini tiada mana-mana Bersatu Bahagian yang dibubarkan akibat tindakan beberapa individu keluar parti.

Menurutnya, mereka yang mengumumkan keluar parti hanyalah individu bukan keseluruhan Bahagian Bersatu di Perak.

“Tindakan segelintir individu yang mengumumkan tindakan keluar parti tidak menjejaskan parti dan tidak mempengaruhi ahli secara keseluruhan.

“Setakat ini tiada Bahagian Bersatu yang dibubarkan dan Bersatu Perak masih kukuh,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin dan ahli Bersatu di beberapa negeri yang bertindak keluar parti selepas Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu kelmarin.

Mengenai hasrat parti baharu itu menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Zainol Fadzi berkata, ia tidak akan menjejaskan sokongan Bersatu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRK tersebut.

Menurutnya, Bersatu Perak tetap akan menyokong calon BN pada PRK DUN Slim yang akan berlangsung pada 29 Ogos depan sepertimana yang diumumkan sebelum ini.

“Bersatu Perak menghormati semangat kerjasama Perikatan Nasional (PN) di Perak dan menjadi tanggungjawab Bersatu juga merealisasikan hubungan itu dalam PRK DUN Slim ini.

“Rakyat sudah boleh menerima pentadbiran kerajaan sekarang di bawah pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama pimpinan parti dalam PN sama ada di Pusat mahupun negeri,” katanya.

Katanya, sesiapa pun calon yang bakal menentang BN dalam PRK DUN Slim nanti tidak akan memberi impak terhadap sokongan ahli Bersatu terhadap calon BN.

Beliau berkata, Bersatu Perak akan membantu sedaya upaya calon BN tanpa berbelah bahagi untuk memastikan hubungan parti-parti di dalam PN terus kukuh melalui PRK DUN Slim.

SH

Leave a Reply