Dr Mahathir dijangka tubuh parti baharu petang ini

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menubuhkan sebuah parti baharu dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia pada petang ini.

Menurut sumber, satu majlis pengumuman bagi penubuhan parti baharu itu oleh kem Dr Mahathir bersama enam lagi pemimpin Bersatu yang dipecat difahamkan akan diadakan di sebuah hotel di Bangsar pada jam 4.30 petang nanti.

Bagaimanapun, perkara itu masih bergantung kepada keputusan kes saman dikemukakan Dr Mahathir dan lima pemimpin Bersatu lain bagi mencabar keputusan pemecatan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Dr Mahathir dan enam yang lain mengemukakan saman ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga pemimpin Bersatu lain dan Pertubuhan Pendaftar (ROS) bagi mencabar keputusan pemecatan mereka dari jawatan masing-masing dalam Bersatu.

Lima yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhir selaku Timbalan Presiden Bersatu; Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Dalam saman itu, plaintif memohon pengisytiharan, antaranya mereka adalah adalah ahli Bersatu sah, masih lagi memegang jawatan parti dan layak bertanding pemilihan parti.

Mereka memohon pengisytiharan supaya semua surat pemecatan ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Bagaimanapun, peguam, Hanif Khatri menegaskan Syed Saddiq kemudiannya menarik balik tuntutan saman dikemukakan, bagaimanapun tuntutan lain akan diteruskan.

Pemecatan dibuat ke atas kem Dr Mahathir yang kini dipanggil Bersatu Blackout itu atas alasan berada dalam kedudukan pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat yang diadakan 18 Mei lalu.

Susulan kes saman itu, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Eksekutif Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya dan ROS selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 17 Jun lalu.

Permohonan itu difailkan peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan atas alasan saman tersebut satu tindakan yang remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah, selain Dr Mahathir dan lima plaintif lagi tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman sivil.

Sebelum ini, Dr Mahathir berulang kali memberi gambaran akan menubuhkan sebuah parti baharu sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya sewaktu berucap dalam beberapa program jelajah Bersatu Blackout di seluruh negara.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker