‘Kepimpinan negeri pun tak boleh kawal, ada hati nak minta kerusi banyak’

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed mengulangi pendirian parti itu untuk tidak menyerahkan kerusi tradisi parti mereka kepada Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Nur Jazlan menyindir Bersatu yang menurutnya lesu di peringkat bahagian.

“Pemilihan Bersatu sebenarnya akan berlangsung pada bulan depan iaitu September tetapi sekarang masih tak selesai-selesai lagi pemilihan di peringkat bahagian. Nampak sangat Bersatu peringkat bahagian sangat lesu.

“Kepimpinan Bersatu Johor pun tak boleh kawal, apatah lagi untuk mengawal keadaan di bahagian. Lepas itu ada hati nak kerusi banyak dan suruh orang Umno sokong mereka,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, semalam.

Justeru, Nur Jazlan mengingatkan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin agar memastikan persidangan dan pemilihan parti Bersatu dijalankan mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi mengelakkan parti itu diharamkan.

“Ini juga supaya Bersatu tidak melalui pengalaman getir Umno pada tahun 2018 yang pernah diancam untuk diharamkan walaupun patuh kepada peraturan dan prosedur ROS,” katanya

Kenyataan itu hadir selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa bahagian dan cawangan iaitu Semberong dan Batu Pahat dengan tidak wujud sebarang jawatan termasuk Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan.

Ekoran keputusan berkenaan, Presiden Bersatu akan melantik seorang Ketua Bahagian Penaja yang baharu bagi kedua-dua bahagian Bersatu ini setelah Persidangan Agung Tahunan (PAT) selesai pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Nur Jazlan bersetuju dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi bahawa Muafakat Nasional adalah kerjasama politik yang kuat dan harus diteruskan untuk memastikan kestabilan politik selepas pilihan raya umum ke-15.

“MN dibina melalui persefahaman yang kuat antara dua pihak yang mempunyai kekuatan dan rekod prestasi tersendiri di jentera atau akar umbi mereka.

“Bandingkan dengan Bersatu, hanya parti baru yang ditubuhkan untuk mencapai tujuan tertentu,” katanya.

Bersatu dan Umno di Johor dilihat tidak sehaluan walaupun selepas Perikatan Nasional telah mengambil alih kuasa.

Bersatu dilihat tidak senang pemimpin Umno dilantik sebagai menteri besar yang baru, meskipun Bersatu memimpin negeri itu semasa era Pakatan Harapan.

Pergeseran antara kedua-dua pihak dilihat mengancam kestabilan kerajaan negeri Perikatan Nasional, yang mendorong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin campur tangan untuk mendamaikan kedua-dua pihak.

Pada pilihan raya 2018, Bersatu memenangi lapan kerusi DUN di Johor sementara BN memenangi 19 kerusi. Pada Nov 2018, tiga adun BN menyertai Bersatu. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker