Jangan Sangkal Kekuatan Muafakat Nasional
FORMULA yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) menerusi kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) sudah pun terbukti membuahkan hasil dengan cemerlang.
Kerjasama BN dengan PAS nyata memberikan impak yang positif setelah pengundi terutamanya PAS memberikan undi kepada calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Malah pada PRK Parlimen Cameron Highlands, BN berjaya mempertahankan kerusi dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 3,238 undi.
Saya mengajak rakyat mengimbas kembali detik kemenangan PRK Tanjung Piai, walaupun BN meletakkan calon dari komponennya iaitu MCA dan apabila rakyat melihat gabungan MN ini terlalu baik dan membela nasib semua kaum dan pihak, ia terbukti dengan majoriti besar iaitu 15,086, sekaligus memberi kemenangan bagi BN dan MN, pada masa sama menjadi indikasi sokongan bukan Melayu terhadap kerjasama UMNO dan PAS.
Begitu juga PRK DUN Chini pada 4 Julai 2020 apabila BN memperoleh majoriti yang lebih besar iaitu 12,650 undi berbanding 4,622 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Pada PRK berkenaan, calon BN, Mohd Sharim Md Zin memperoleh 13,872 undi, manakala calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, (1,222 undi) dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, hanya mendapat 137 undi.
Kemenangan selesa itu membuktikan bahawa BN masih relevan dan diterima oleh rakyat.
Dalam masa yang sama, kemenangan bergaya itu juga bukti kerjasama antara BN dan PAS di bawah MN semakin diterima oleh rakyat.
Selepas Chini, PRK DUN Slim River di Perak pula bakal menyaksikan kerjasama antara BN dan PAS untuk BN mempertahankan kerusi berkenaan.
Dalam pada itu, harus diingat jangan pula apabila sudah duduk di kerusi kerajaan, kita lupa semuanya detik manis.
Isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, parti keramat orang Melayu ini dan ahli jangan diheret sama. Rakyat perlu bangkit melawan rejim Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya hanya menjanjikan bulan dan bintang.
Perlu diingat juga bahawa, UMNO dan PAS hanya menyelamatkan kerajaan yang runtuh sendiri. Tanpa UMNO dan PAS, tiadalah kerajaan yang terbentuk pada hari ini.
Jika mahu dimeterai sesuatu perjanjian haruslah dibawa usul ke Perhimpuan Agung UMNO (PAU), seperti juga Dewan Perhimpunan Muktamar PAS. Suara akar umbi adalah suara keramat. Jangan sesekali membelakangi atau menafikan suara akar umbi.
Jadi marilah kita terus memperkukuhkan MN kerana MN membawa agenda permuafakatan ummah demi membela martabat bangsa, agama dan negara yang merupakan perjuangan UMNO sejak dari dulu lagi.
Menjadi satu tanggungjawab dan sewajarnya muafakat antara UMNO dan PAS ini terus diperkukuh bagi berdepan cabaran getir pada PRU-15 akan datang.
Muafakat membawa berkat. – UMNO ONLINE
MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
You must be logged in to post a comment.