Macau Scam : Warga emas berputih mata, rugi lebih RM1 juta

Berputih mata, itulah yang berlaku pada seorang warga emas di Petaling Jaya yang menjadi mangsa sindiket penipuan ‘Macau scam’ selepas mengalami kerugian lebih RM1 juta.

Wanita berusia 71 tahun itu, menerima panggilan daripada sebuah syarikat penghantaran mengatakan terdapat bungkusan dihantar dari Kepong ke Kota Kinabalu, Sabah yang menggunakan kad pengenalan dan kad bank atas namanya pada 25 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki bernama Sarjan Chong Sin Han yang mendakwa dirinya seorang anggota polis dari balai polis di Sabah.

“Mangsa diberitahu yang dia terbabit dengan sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan butiran peribadinya dipercayai digunakan seorang lelaki yang juga bekas pengurus bank yang telah ditangkap.



“Oleh sebab takut ditahan, mangsa terpaksa mengikuti segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya ke 10 akaun syarikat yang berbeza berjumlah RM1,069,800 secara berperingkat pada 15 Jun hingga 23 Julai lepas,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata usaha mengesan saki-baki suspek terlibat sedang diburu manakala sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat mengenai jenayah siber.

“Polis nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang diterima mana-mana pihak dan segera menghubungi polis jika menerima panggilan-panggilan telefon sebegini,’’ katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker