Laporan Khas: Penempatan haram Bukit Malut membesar [Video]
LANGKAWI: Kawasan penempatan haram Bukit Malut di sini, semakin membesar apabila lebih banyak rumah dibina dan tapak baharu diteroka tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Jika sebelum ini, kebanyakan rumah penduduk dilihat dibina di kawasan rizab hutan paya bakau, tetapi kini mereka semakin berani apabila menarah kawasan lereng bukit sehingga menghampiri jalan utama.
Kegiatan meratakan hutan lereng bukit itu didakwa dilakukan pihak tertentu untuk menjualnya kepada warga asing yang berminat membina rumah baharu yang turut dilengkapi bekalan air dan elektrik.
Tinjauan BH di penempatan yang terletak kurang 20 kilometer dari pekan Kuah itu, mendapati wujud pertambahan bilangan rumah yang dibina secara haram di tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) itu.
Dianggarkan ketika ini, ada kira-kira 1,000 rumah dibina di kawasan merangkumi hutan paya, pesisir laut dan lereng bukit dengan jumlah penduduk dikatakan sudah melebihi 10,000 orang ketika ini, berbanding hanya kira-kira 800 rumah tahun lalu.
Apa lebih mengejutkan apabila tinjauan turut mendapati terdapat dua bangunan komersial dipercayai rumah kedai tiga tingkat sedang dibina di jalan masuk utama ke Bukit Malut.
Berdasarkan kerja pembinaan yang giat dilakukan, berkemungkinan bangunan yang menempatkan empat hingga lima pintu rumah kedai itu dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pembinaan bangunan berkenaan dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa berikutan ketiadaan papan tanda tapak projek selain pekerjanya tidak mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.
Pada masa sama, kepadatan penduduk yang terlalu ramai turut menyebabkan masalah sosial lain, termasuk isu kebersihan apabila timbunan sampah dapat dilihat terbiar di hampir semua kawasan penempatan.
Keadaan itu berlaku kerana penduduk mengambil jalan mudah membuang sampah ke laut dan keadaan bertambah buruk ketika air surut apabila sisa plastik, botol kaca dan kayu menjadi bertimbun.
Kegiatan penagihan dadah juga dipercayai masih berlaku di Bukit Malut, apabila terdapat rumah bekas pekerja kolam udang yang terbiar dilihat dimasuki beberapa lelaki bermotosikal bagi mendapatkan bekalan.
Usaha wartawan dan jurugambar BH menghampiri ‘sarang’ itu bagaimanapun gagal, apabila ditengking lelaki tidak dikenali yang menghalang kami memasuki tapak bekas kolam udang yang ditinggalkan itu.
Keadaan ini, sekali gus menunjukkan penduduk penempatan haram ini seolah-olah kebal dan tidak mempedulikan arahan pihak berkuasa apabila terus melakukan kegiatan menyalahi undang-undang.
Sementara itu, seorang peniaga dikenali Hashim, 54, berkata kehidupan penduduk Bukit Malut masih berjalan seperti biasa, walaupun kehadiran pihak berkuasa di kawasan itu semakin kerap.
Beliau mendakwa, kebanyakan masalah yang timbul di kawasan kampung itu adalah disebabkan kehadiran ‘orang luar’ tidak dikenali sehingga menjejaskan imej penduduk asal.
“Sejak kebelakangan ini, polis kerap masuk lakukan operasi dan tangkap mereka yang menghisap dadah dan itu dilihat sebagai sesuatu yang baik.
“Kami cuma harap dapat tinggal di sini, dan minta pihak berkuasa tidak ganggu rumah serta perniagaan sahaja,” katanya yang berniaga kedai kopi di situ sejak lima tahun lalu.
Pada Jun tahun lalu, BH mendedahkan, Bukit Malut dianggap sebagai kawasan paling hitam di Langkawi berikutan berlaku banyak kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan berikutan kehadiran warga asing tidak terkawal.
Kesesakan kediaman penduduk yang memenuhi pinggir pantai Bukit Malut membuatkan ia umpama penempatan haram di Sao Paulo, Brazil atau setinggan di Mexico City, Mexico.
Berikutan itu, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, kerajaan akan menyusun dan membina semula kawasan setinggan itu, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan ke arah itu diambil.
Difahamkan, penempatan ini mula dibuka sejak awal 80-an oleh pelarian Myanmar, yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum ia terus berkembang sehingga ke kawasan berbukit.
Penduduk asal Langkawi menganggap Bukit Malut sebagai misteri kerana penghuninya kurang bercampur dengan orang tempatan, walaupun kebanyakan mereka mulai terbabit dalam kegiatan ekonomi setempat termasuk memiliki perniagaan sendiri.
Malah, hampir separuh penghuni penempatan yang mendakwa berketurunan Melayu Myanmar di situ, dikatakan memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad.
Kerajaan didesak buat pemutihan terhadap penduduk
Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), didesak melakukan pemutihan terhadap penduduk sekitar Bukit Malut di sini, yang dipercayai kebanyakannya bukan warga Malaysia.
Penduduk Kampung Bayas dikenali sebagai Azman, 35, menyifatkan masalah Bukit Malut umpama bom jangka yang boleh menyebabkan kemudaratan lebih besar kepada seluruh masyarakat di pulau itu.
Katanya, sejak sekian lama penduduk tempatan takut untuk bersuara kerana bimbang keselamatan mereka terancam dan hanya berharap kepada kerajaan bagi mengambil tindakan tegas termasuk membersihkan kawasan itu.
“MKN perlu lakukan pemutihan dan periksa setiap orang di Bukit Malut jika tidak mahu lebih banyak masalah berlaku pada masa hadapan kerana yang akan berhadapan masalah ini adalah kami penduduk tempatan.
“Kami tahu hampir semua penduduk Bukit Malut adalah warga asing. Jika ada yang memiliki MyKad, kerajaan perlu siasat bagaimana mereka dapat dokumen itu,” katanya ketika ditemui BH.
Azman berkata, tindakan pihak berkuasa yang hanya menumpukan isu dadah tidak mencukupi kerana terdapat masalah lain seperti status kewarganegaraan dan pencerobohan tanah.
Beliau mendakwa penduduk Bukit Malut asalnya warga asing yang menceroboh hutan di Langkawi, tetapi kini ada yang memiliki MyKad dan berkahwin dengan penduduk tempatan sehingga bebas melakukan pelbagai aktiviti.
“Akibat ketiadaan penguatkuasaan, ada warga asing di Bukit Malut ini dapat menjalankan perniagaan, membeli kedai dan menguruskan aktiviti pelancongan menyebabkan penduduk tempatan berasa terpinggir,” katanya.
Perkara sama turut dikongsi penduduk Kedawang dikenali sebagai Zainuddin, 41, yang mahu masalah Bukit Malut diselesaikan secara lebih menyeluruh.
“Kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam berhadapan isu di Bukit Malut selepas penduduk kawasan itu banyak berselindung menggunakan nama pemimpin politik.
“Yang menjadi korban adalah kami penduduk tempatan yang perlu berebut dan bertahan terutama dalam aspek ekonomi,” katanya.
Bangunan tiada kelulusan MPLBP
Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk pembinaan bangunan komersial di kawasan Bukit Malut.
Jurucakapnya berkata, penguat kuasa MPLBP menghadapi kesulitan masuk ke penempatan terbabit berikutan ia terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Bahagian Penguatkuasaan MPLBP akan cuba meninjau bangunan yang dikatakan sedang dibina di kawasan terbabit.
“Setakat ini tiada permohonan diterima dan kita akan periksa bangunan itu dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi BH.
Tinjauan BH di kawasan Bukit Malut mendapati, semakin banyak kediaman baharu, termasuk bangunan komersial, dibina penduduk dipercayai tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Jurucakap itu berkata, selama ini pihaknya agak sukar memantau kawasan Bukit Malut kerana sikap penduduknya yang agak agresif, selain ia dianggap sebagai isu sensitif.
bukanlah sesuatu yang melalut jika ada mahu mengatakan ‘projek IC Mahathir’ berlaku juga di Bukit Malut Langkawi selain di Sabah…setelah bersama pembangkang yang dahulu agak sering memperkatakan(entah kenapa kini diam membisu?) tentang ‘projek IC Mahathir’ itu, barulah kini Mahathir selaku ahli parlimen Langkawi sedar ‘projek ic’nya itu mendatangkan masalah sosial & keselamatan ibarat bom jangka di bukit Malut