Tiada perbarisan 31 Ogos tahun ini

Ancaman pandemik COVID-19 yang masih berterusan bakal menyaksikan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang pada tahun ini dilangsungkan secara sederhana.

Kerajaan memutuskan tiada acara perbarisan pada 31 Ogos seperti kelaziman berikutan negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selain, berlaku peningkatan kes positif COVID-19, sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun beberapa acara tetap diatur termasuk sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bermula 9 Julai lalu serta pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, esok.

Tema tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ membawa pengertian yang cukup mendalam dengan perkataan ‘Malaysia’ menggambarkan kerjasama seluruh rakyat di negara ini yang berganding bahu memerangi pandemik COVID-19, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan.

‘Prihatin’ pula mewakili keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Sempena acara pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang nanti, Muhyiddin dijadual menyampaikan amanat untuk semua rakyat Malaysia.

Ia akan diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku diiringi pancaragam Angkatan Tentera Malaysia sebelum persembahan lagu tema sambutan kali ini Malaysia Prihatin oleh kumpulan Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia.

Perdana menteri kemudian akan melepaskan Info On Wheels (IOW) Merdeka.

Program IOW Merdeka dilakukan untuk menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai peringkat, hebahan mesej kenegaraan, menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di samping sebahagian pengisian Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020.

Selain pelancaran tersebut, dua lagi acara utama yang akan turut diadakan ialah Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 Sept.
Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker