Malaysia lebih berjaya harungi badai Covid-19 berbanding negara lain, kata Bank Dunia
Walaupun berdepan pelbagai cabaran dibawa oleh pandemik Covid-19, Malaysia mengharungi kegawatan ekonomi dengan lebih baik berbanding negara lain, kata Bank Dunia.
Pengarah negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik, Ndiamé Diop berkata, ekonomi Malaysia bergantung pada asasnya yang kukuh.
Struktur ekonomi negara yang pelbagai, sistem kewangan mantap dan langkah pengurusan kesihatan awam yang berkesan serta sokongan dasar makroekonomi proaktif membantu mengurangkan kesan pandemik itu, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Walaupun kita menjangka ekonomi akan menguncup dengan ketara tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun sebanyak 3.1%, termasuk penguncupan yang ketara pada suku ke-2 serta ketidaktentuan terhadap pemulihan ekonomi, kita masih lagi ada harapan,” kata Diop.
Bank Dunia menganggarkan 90% daripada ekonomi dunia akan mencatatkan penguncupan tahun ini.
“Kesan pandemik ini dijangka menyebabkan peningkatan kemiskinan ekstrem global buat pertama kalinya sejak 1998. Perkembangan ini turut melenyapkan kemajuan yang dicapai sejak 2017,” katanya.
Diop berkata, kerajaan Malaysia menggerakkan strategi 6 peringkat yang mampu memacu semula ekonomi secara kukuh dan berdaya tahan, sambil menambah negara memasuki peringkat pemulihan ke-4 yang menjadi asas kepada peringkat seterusnya dalam usaha menghidupkan dan membentuk semula ekonomi.
“Ini bermakna kerajaan bukan sahaja berazam untuk keluar daripada krisis ini, tetapi juga untuk berada dalam kedudukan lebih baik daripada sebelum ini supaya dapat menangani krisis lain pada masa akan datang,” katanya.
Diop berkata, walaupun sokongan dasar yang penting telah dilaksanakan, kerajaan mungkin perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi mereka yang sangat memerlukan, terutama isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas.
Meskipun sesetengah aktiviti ekonomi akan meningkat semula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, namun pendapatan dan peluang pekerjaan akan mengambil masa untuk pulih, walaupun sesetengah bahagian ekonomi seperti sektor perkilangan akan menyaksikan pertumbuhan lebih cepat berbanding sektor lain seperti pelancongan.
Ndiamé Diop
“Ini mungkin bermakna bantuan kewangan tambahan perlu diberikan kepada golongan terjejas, terutama kumpulan B40 yang tiada wang simpanan dan rangkaian sokongan untuk berdepan kesan berpanjangan yang menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, krisis ini juga menekankan keperluan bagi Malaysia untuk mewujudkan sistem perlindungan sosial lebih kukuh dengan kos lebih berkesan serta dasar lebih bersepadu bagi meningkatkan kebajikan individu dan isi rumah ketika tempoh pemulihan dan pada masa akan datang.
Menurut Diop, Covid-19 melanda secara mengejut dengan Malaysia memiliki ruang belanjawan terhad untuk bertindak balas menerusi suntikan fiskal secara langsung.
Beliau berkata, apabila ekonomi pulih nanti, langkah pembaharuan perlu diambil untuk meningkatkan hasil cukai, termasuk mencari sumber hasil baru yang lebih progresif.
Fokus utama juga perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja dalam ekonomi baru, serta merancakkan agenda digital dan mengurangkan jurang digital, katanya.
“Malah ketika sebelum krisis lagi, kesedaran telah wujud tentang keperluan Malaysia untuk menganjakkan pendekatan persaingannya ke arah menarik pelaburan lebih berkualiti, cabaran yang malahan menjadi semakin kritikal untuk ditangani,” katanya.
Beliau berkata, sekarang adalah masa untuk mengatur perubahan menyeluruh bagi membantu melonjakkan negara ke peringkat seterusnya untuk terus membangun pada tahun akan datang.
“Usaha dijalankan Bank Dunia menunjukkan walaupun Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang, namun terdapat jurang besar dalam rangka kerja dasar yang menghalang negara mencapai potensi penuhnya, bahkan jurang ini menjadi lebih memudaratkan ketika krisis.
“Jadi, sekarang adalah masanya untuk merancang dan melaksanakan dasar yang akan membantu meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, kualiti modal insan, meningkatkan daya saing, mewujudkan pekerjaan berkualiti, memodenkan institusi dan mempromosikan rangkuman melalui rangka kerja perlindungan sosial lebih kukuh yang sesuai dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju,” katanya. Bernama
You must be logged in to post a comment.