PPBM lucut keahlian ahli Parlimen Seri Gading

Keahlian ahli Parlimen Seri Gading, Shahruddin Salleh dalam PPBM terlucut serta-merta berikutan tindakannya tidak duduk di blok kerajaan di Dewan Rakyat.

Setiausaha agung PPBM Hamzah Zainuddin berkata, Shahruddin pada 10 Julai mengeluarkan notis pemakluman kepada speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkaitan kedudukan kerusinya yang tidak bersama blok kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti itu.

“Oleh yang demikian, keahlian Shahruddin terhenti secara serta-merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan PPBM.

“PPBM mengucapkan terima kasih atas segala khidmat baktinya sepanjang beliau bersama PPBM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 4 Jun, Shahruddin meletak jawatan sebagai timbalan menteri kerja raya dan selepas itu dilihat agak rapat dengan kem bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang keahliannya dalam PPBM turut dilucutkan atas alasan sama.

Shahruddin dilaporkan berkata, beliau telah melakukan “ijtihad politik” kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin.

Dalam pada itu Hamzah berkata, PPBM memberi amaran kepada ahli yang menyokong atau bersama bekas pemimpin PPBM yang terlucut keahlian dalam kempen bertujuan memburukkan nama baik parti.

“PPBM akan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang melanggar dan menyalahi perlembagaan parti,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker