Kluster Jeti, kluster terbaharu di Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan kluster Jeti sebagai kluster terbaharu yang dikesan di negeri itu.

Pengumuman ini menyaksikan Sarawak secara keseluruhannya setakat ini merekodkan tujuh kluster yang masih aktif melibatkan kluster tapak pembinaan, kluster syarikat kejuruteraan, kluster Mambong, kluster pusat perubatan, kluster LNG Jupiter dan kluster Stutong.

Kluster Jeti melibatkan dua kes positif COVID-19 yang dikesan melibatkan sebuah Jeti Kapal Perikanan di Pending, Sarawak.

“Kes pertama kluster ini yang juga merupakan kes ke-584 disahkan positif pada 15 Julai 2020 manakala kes kedua yang merupakan kes ke-603 melibatkan warga Indonesia yang bekerja sama dengan kes ke-584 disahkan positif pada 18 Julai 2020,” tambah kenyataan sama.



Justeru seramai 65 kontak telah dikenalpasti dan daripada jumlah tersebut, 25 kontak telah menjalani ujian saringan.

Hasil ujian saringan mendapati dua kes disahkan positif manakala 23 kes sebagai negatif manakala 21 kontak masih belum menjalani saringan kerana masih berada di laut.

Selain itu, JPBNS turut mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan bahawa kluster Kidurong telah ditamatkan.

“Kes positif COVID-19 terakhir melibatkan kluster Kidurong dilaporkan pada 6 Julai 2020. Seramai 230 orang kontak rapat yang melibatkan ahli keluarga, rakan tempat kerja dan kontak sosial telah disaring.



“Seramai lapan orang atau 3.48 peratus disahkan positif COVID-19. Kluster Kidurong diisytiharkan tamat setelah 28 hari tiada kes COVID-19 baru dilaporkan yang melibatkan kluster ini,” menurut kenyataan sama.

Antara lain Sarawak hari ini mencatatkan enam kes positif terbaharu COVID-19 dan kesemua kes dilaporkan di daerah Kuching.

Peningkatan enam kes ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Sarawak setakat ini meningkat kepada 607 kes. Awani



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker