Pilihanraya PBT, Wakil Rakyat PN Bangkit Bersuara Demi Rakyat
ISU Pilihan Raya PBT dihidupkan kembali di Parlimen semalam. Respon Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Selasa lepas bahawa kementeriannya sedang menyediakan kertas Kabinet bagi membuka laluan pelaksanaan pilihan raya ini telah mendapat tentangan dari sesama penyokong kerajaan.
Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar (BN-Umno) menegaskan bahawa janji menghidupkan kembali pilihan raya ini adalah janji Kerajaan PH dahulu dan berasa hairan mengapa tuntutan ini perlu dilaksanakan sedangkan ia tidak mewakili pendirian parti-parti yang menyokong kerajaan hari ini terutama BN dan PAS.
Hujah Tan Sri Noh turut disokong wakil Parlimen PAS dan GPS dari Sarawak. Saya bukan mahu menyelami isu Pilihan Raya PBT ini tetapi mahu menekankan sikap para penyokong kerajaan khasnya di Parlimen dalam kerajaan hari ini.
Secara terbuka rakyat melihat Ahli-ahli Parlimen kerajaan bukanlah sekadar pemanas kerusi, mengangguk bila diminta mengangguk dan membisu bila disuruh diam. Mereka bebas dan berani menyuarakan pandangan walau terhadap Menteri sendiri. Ini satu perkembangan baru dalam kita mahu menghidupkan politik baru di Malaysia.
Sebelum ini keputusan Menteri Komunikasi melantik seorang peguam kontroversi sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) telah ditentang Umno dan PAS sehingga akhirnya ia dibatalkan oleh Menteri berkenaan. Dan kini isu Pilihan Raya PBT.
Ternyata Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat terbuka dan menghormati pandangan semua pihak apatah lagi sesama komponen parti penyokong kerajaan. Ia membina dan menggalakkan kebebasan bersuara sekali gus menggalakkan wakil-wakilnya menyuarakan sikap dan pendirian secara terbuka tidak seperti kerajaan sebelum ini.
Semasa pemerintahan PH dahulu beberapa dasar dan program kerajaan tidak disenangi rakyat namun tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan berani bersuara hatta berkaitan isu sensitif yang melibatkan budaya Melayu dan agama Islam sekalipun. Malah mereka yang diharapkan membela dan mempertahankan Islam seperti PAN pun membawa isu-isu kontroversial yang dikesali.
Syukurlah hari ini segalanya berubah, bumi dipijak kembali milik kita dan kita mengharapkan melalui teguran Ahli-ahli Parlimen yang mewakili penyokong kerajaan ini diberi perhatian dan kerajaan mengambil sikap dan keputusan baru dalam isu Pilihan Raya PBT ini.
Nota:
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terdapat 11 kerusi Parlimen. 6 daripadanya majoriti bukan-Melayu, Kepong contohnya mempunyai 94.5 peratus pengundi bukan-Melayu, Seputueh 93.6 peratus, Cheras 88.85 peratus dan Bukit Bintang 85.55 peratus berbanding Titiwangsa yang majoriti Melayu terbesar dengan cuma 70.48 peratus pengundi Melayu.
Ini bermakna pengundi teramai di Kuala Lumpur adalah yang bukan-Melayu dan jika diadakan Piliha Raya PBT bayangkan apa yang bakal berlaku.
Demikianlah juga di bandar-bandar besar yang lain termasuk di Pulau Pinang, Seremban, Ipoh, Petaling Jaya dan lain-lain. Lantaran itulah DAP bersungguh mendesak dihidupkan kembali PR PBT ini agar semua majlis-majlis tempatan terbesar dalam negara nanti akan dikuasai mereka. HarakahDaily