Mahathir dalangi kejatuhan PBS, kini terima padah PH runtuh

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin ‘memulangkan paku buah keras’ terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkaitan peranan beliau dalam menumbangkan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) di negeri itu pada 1994.

Bung Moktar berkata Mahathir tidak sepatutnya terkejut dengan keruntuhan pentadbiran Pakatan Harapan itu.

“Beliau ialah perdana menteri ketika itu dan ‘dalang’ yang menggerakkan langkah menumbangkan kerajaan Sabah pimpinan PBS pada 1994 apabila wakil rakyat parti itu ‘melompat’ secara besar-besaran kepada BN,” kata Bung, menurut laporan laman berita Free Malaysia Today (FMT).

“Ini menunjukkan apa yang beliau buat dahulu (terhadap orang lain) kini berlaku kepada dirinya,” jelas beliau lagi.

Bung, yang juga ketua Umno Sabah berkata beliau bingung mendengar Mahathir mengeluh mengenai pengkhianatan anggota parlimen Bersatu yang meninggalkan PH untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menjelang Pilihan Raya Umum 1990, PBS yang diketuai oleh ketua menteri Sabah ketika itu Joseph Pairin Kitingan telah menarik diri daripada menjadi komponen parti BN pimpinan Mahathir.

Sebagai tindak balas, Mahathir telah membuka cawangan Umno di Sabah.

Walaupun Pairin menang tipis pilihan raya Sabah pada tahun 1994, BN ketika itu berjaya memujuk sokongan wakil rakyat PBS dan kerajaan itu runtuh apabila Adun PBS berpaling tadah kepada Umno atau membentuk parti-parti serpihan yang bergabung dengan BN.

Bung turut mempertikaikan tafsiran Mahathir mengenai penggulingan kerajaan PH sebagai suatu komplot.

“Bagaimana boleh menjadi plot jika dia mengundurkan diri? Tidak ada siapa yang tahu bahawa kerajaan PH akan runtuh pada waktu itu.

“Mahathir meletak jawatan sebagai PM atas kehendaknya sendiri, yang bermaksud kerajaannya telah tumbang,” katanya.

Bung juga berkata Yang di-Pertuan Agong memiliki hak untuk meminta pembentukan kerajaan baru oleh pemimpin yang mendapat sokongan majoriti.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker