Anwar sokong usaha pakej rangsangan kerajaan
KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau mendokong kesemua usaha pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).
Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, pakej rangsangan itu perlu segera dibahaskan di Parlimen bagi membolehkan ahli Dewan Rakyat mengemukakan hujah mereka.
“Pakej yang disebutkan oleh Perdana Menteri masih belum ada dalam jadual (untuk dibahaskan), saya tak tahu bila akan dibentangkan, kalau ikut jadual, belum ada.
“Saya sendiri menyokong inisiatif oleh Perdana Menteri tapi kita kena bahas. Perdana Menteri bagi jaminan dan saya sambut baik, pada sesi ini juga akan dibentang supaya ia dapat dibahas,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat.
Menyentuh isu koronavirus (Covid-19), Anwar memuji tindakan Kementerian Kesihatan terutama Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang saban hari menggalas tanggungjawab memaklumkan perkembangan terkini pandemik itu dalam negara.
“Kita (secara) bersama menyatakan penghargaan (terhadap) rakan-rakan di barisan hadapan kerana kesediaan mereka menghadapi risiko Covid-19. Bila kita sebut barisan hadapan termasuk doktor dan pakar, ‘technician’ dan pencuci juga jangan dilupa,” katanya.
Justeru, beliau berharap mereka yang terlibat dalam bidang perkhidmatan seperti tukang cuci turut diberi insentif sewajarnya memandangkan golongan itu juga berkorban masa dan terdedah kepada risiko pandemik Covid-19. – Bernama