Jamal Yunos mohon batal saman RM5 juta Yeo berkait dana Yawas

Jamal Yunos mengemukakan permohonan membatalkan saman RM5 juta terhadapnya yang difailkan bekas menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar, Yeo Bee Yin berhubung dakwaannya pada 2017 yang pemimpin DAP itu menyalahgunakan dana kerajaan Selangor ketika menjadi Adun Damansara Utama.

Peguam SN Nair yang mewakili Yeo memberitahu wartawan di luar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang permohonan itu difailkan 25 Jun lalu.

Katanya, Jamal mempertikaikan saman itu difailkan terlalu awal sedangkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan.

“Hakim Mahkamah Tinggi (Rozanna Ali Yusoff) memerintahkan kami menjawab permohonannya menjelang 15 Julai,” katanya sambil menambah permohonan itu akan didengar pada 23 Julai nanti.



Mahkamah turut menetapkan 9 hingga 13 Nov ini untuk mendengar saman itu, jika mahkamah menolak permohonan Jamal.

Ahli Parlimen Bakri itu menuntut ganti rugi am RM5 juta, ganti rugi teruk dan teladan atas dakwaan Jamal yang beliau menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Beberapa usaha dilakukan sejak tiga tahun lalu untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, namun kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Sementara itu, Nair berkata, sebuah lagi Mahkamah Tinggi menolak permohonan Jamal untuk membatalkan saman terhadapnya yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada Januari lalu.



Kok memfailkan saman itu terhadap dakwaan Jamal yang beliau turut menyalahgunakan dana Yawas dan kenyataan itu mencemarkan reputasinya sebagai ahli politik kanan DAP serta memberi bayangan beliau ialah individu korup.

“Beliau sudah memfailkan rayuan terhadap pembatalan saman fitnah itu,” kata Nair sambil menambah Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan itu pada 27 Nov ini.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa ahli politik dari Kuala Lumpur dan Selangor mengambil dana untuk tujuan kebajikan itu daripada Yawas, tetapi tidak mengagihkannya kepada penerima yang layak.

FMT



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker