Keputusan larang warga asing, pelarian ke Pasar Borong KL muktamad – DBKL

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertahankan keputusannya tidak membenarkan warga asing dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) masuk dan membeli barangan di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.

DBKL berkata, pasar borong itu ditutup beberapa kali sehingga menjejaskan aktiviti perniagaan di KL selepas menjadi lokasi penularan Covid-19 yang berpunca daripada warga asing.

“Ini bagi memastikan Pasar Borong KL dapat terus berfungsi dengan lancar tanpa gangguan penutupan kerana ia merupakan salah satu nadi kepada aktiviti perniagaan di bandaraya Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi notis dikeluarkan DBKL pada 19 Jun lalu, semua individu yang ingin berurusan dalam Pasar Borong KL akan diperiksa dan perlu mendaftar sebelum dibenarkan masuk.

Warga asing hanya dibenarkan masuk membeli barangan jika mereka mempunyai permit sah dan bersama warganegara Malaysia, tetapi semua pemegang kad UNHCR tidak dibenarkan memasuki pasar itu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DBKL memperkasakan Undang-undang Kecil Pasar Borong Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2002 dan mengeluarkan kenyataan media pada 6 dan 12 Mei lalu bagi memaklumkan tiada lagi pekerja asing dibenarkan dalam sektor itu.

“Selaras penguatkuasaan tersebut, pekerja asing tidak dibenarkan sama sekali bekerja di Pasar Borong KL, manakala pekerja yang sah dan berdaftar serta bekerja dengan majikan pembekal saja dibenarkan masuk dengan diiringi majikan warganegara Malaysia.”

DBKL berkata, warga asing tidak perlu memasuki pasar borong itu kerana aktiviti pembelian dilakukan secara borong, bukannya runcit.

Katanya, warga asing dan pemegang kad UNHCR yang mahu membeli barang keperluan harian boleh ke pasar lain atau kedai runcit berhampiran

“Jualan di Pasar Borong KL kepada peruncit saja dan pemegang kad UNHCR bukan peruncit. Pemegang kad UNHCR juga tidak dibenarkan membeli dalam kadar banyak kerana dikhuatiri mereka akan menyalahgunakannya dengan membuat aktiviti jualan secara haram di tempat lain.”

Katanya, pemegang kad UNHCR tidak dibenarkan membuat urusan perniagaan ketika berada di Malaysia dan DBKL sudah melakukan 12 sitaan kerana pemegang kad itu berniaga secara haram di sekitar Pasar Borong KL sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) hingga perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Kawalan ke atas warga asing yang memasuki Pasar Borong KL untuk menangkis persepsi awam ia masih dikuasai mereka. Pelesenan dan pekerja yang mempunyai pas pelesenan atau pekerja saja dibenarkan masuk.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker