Sabri tak rela korbankan karya demi SOP penggambaran

Berdepan dilema di antara penghasilan karya yang diharapkan dan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19, pengarah berbakat besar, Sabri Yunus memilih opsyen ketiga.

Tidak menyambung penggambaran, tidak juga melanggar SOP, Sabri justeru terjun ke dunia yang serba baru buatnya, iaitu berniaga durian.

Bercakap kepada Malaysiakini, pengarah drama Hari-hari Terakhir Seorang Seniman itu berkata dia tidak sanggup mengorbankan mana-mana karyanya yang sudah mendapat tempat di hati sesebuah stesen televisyen demi memenuhi SOP untuk menjalankan penggambaran.

Bagi Sabri, agak mustahil untuk dia menghasilkan karya yang memenuhi piawaian yang diinginkan dan pada masa sama mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Penggambaran dibolehkan, tapi bolehkah kita (membuat karya yang dimahukan)? Justeru, saya tak nak korbankan karya yang ada.

“Kalau nak teruskan, mungkin kena hasilkan cerita baru bagi disesuaikan dengan keadaan.

“Saya anggap memang sangat sukar nak buat ketika kita masih belum diisytihar bebas daripada Covid-19,” katanya.

Sabri yang turut dikagumi sebagai pelakon serba boleh itu menambah SOP ditetapkan kerajaan mewajibkan penjarakan sosial dan ia bukan masalah besar jika di luar penggambaran.

Masih tetap bersyukur

Namun katanya semasa penggambaran melibatkan babak tertentu ia terlalu sukar dibuat.

Selain itu, kata Sabri, 58, syarikat produksi juga perlu mengeluarkan peruntukan lebih besar untuk kos menyediakan bahan nyah kuman.

Katanya ia bukan sesuatu yang mudah kerana kos yang diperlukan bertambah namun pada masa sama bayaran stesen TV bagi drama yang dihasilkan masih sama seperti sebelum ini.

“Bukan setakat tu, sewaktu musim Covid-19 ni siapa pula berani nak sewakan lokasi mereka untuk kegunaan penggambaran? Takkan berlakon dalam studio saja?

“Ni ertinya sangat sukar untuk kita buat (penggambaran) sebab kena korbankan karya untuk disesuaikan dengan SOP.

“Akhirnya kita cuma jalankan penggambaran demi kelangsungan hidup, dan bukannya untuk meningkatkan mutu sesebuah drama atau filem. Kalau macam tu, 100 karya untuk tahun depan pun semua akan sama,” katanya.

Terdahulu, Sabri yang turut berlakon dalam filem Jogho itu meluahkan di media sosial betapa dia terpaksa menjalankan perniagaan menjual durian kerana belum bersedia memulakan penggambaran gara-gara mengalami kekangan SOP.

Bagaimanapun, Sabri berkata, dia tetap bersyukur apabila kerajaan memberi kelonggaran tersebut.

“SOP kita kenalah patuh dan saya bersyukur masih ada rakan-rakan boleh teruskan kelangsungan,” katanya.

Sementara itu, mengulas perniagaan durian yang baru diusahakannya, Sabri berkata, ia adalah persediaan sebelum dia beralih arah membuka kedai jualan makanan sejuk beku.

Katanya, kedai tersebut dijangka mula beroperasi Ogos ini.

“Pembantu saya ada buka perniagaan nasi ayam dan saya lihat momentum jualannya amat bagus. Dia ada pengalaman 20 tahun berniaga.

“Bila dia ajak jadi rakan kongsi, saya terus setuju sebab tak pernah berniaga. Biasanya setiap 10 tahun sekali saya akan cuba bidang baru.

“Perancangan kami nak buka Dee Frozen Mart, tapi sebelum tu saya berniaga durian dulu sampai kedai siap,” katanya yang tidak berhasrat untuk meninggalkan kerjaya seninya sekalipun berkecimpung dalam dunia perniagaan nanti.

Mkini

Bapa sanggup korbankan anak dari pecahkan cermin kereta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker