PKR rela jadi pembangkang dari beri Mahathir jadi PM

Baik PH terus jadi pembangkang dari sokong Dr M jadi PM lagi

PKR telah menggariskan beberapa “parameter” dalam usaha untuk menukar sokongan ahli parlimen terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut pemimpin parti, “memulakan sekali lagi” (usaha itu) tanpa Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri merupakan syarat utamanya.

Ketika wawancara dalam talian bersama Malaysiakini hari ini, Naib Presiden Chang Lih Kang menyenaraikan tiga parameter iaitu, Mahathir bukan peneraju; memastikan bahawa ahli parlimen yang menyeberang ke blok pembangkang bersetuju dengan “agenda reformasi”; dan mendapat kata sepakat di antara ketiga-tiga parti komponen PH sebelum menerima penukaran sokongan itu.



Mengulas lanjut, Chang berpendapat menjadikan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan membolehkan PH mendapat laluan bersih untuk melaksanakan reformasi dan mendapatkan kembali sokongan popular.

“Kami tidak setuju (mempunyai) Mahathir sebagai PM bukan lah kerana kami mahu presiden kami (Anwar) menjadi PM, tetapi kami fikir jika kami diberi satu lagi peluang untuk berada di dalam kerajaan lagi, maka perlu ada permulaan baru.

“Seperti yang telah kami lihat dalam 22 bulan pemerintahan HarapanPH, ada banyak masalah dan beberapa kesilapan. Kami pernah sangat popular di kalangan rakyat selepas PRU14 pada 2018 tetapi kami sangat dibenci pada pilihan raya kecil Tanjong Piai […]

“Jadi jika kami memerintah lagi, kami harus menyingkirkan masalah ini dan bermula dari awal. Itulah sebabnya kami tidak boleh meminta Mahathir untuk menjadi PM lagi untuk kali ketiga, jika tidak, kami akan kembali semula pada keadaan yang sangat dibenci oleh pengundi (di Tanjong Piai),” katanya.

Chang berpendapat membiarkan Mahathir menjadi perdana menteri selama enam bulan sebelum peralihan kuasa kepada Anwar tidak dapat diterima, terutama semasa krisis kesihatan dan ekonomi akibat wabak Covid-19 yang memerlukan kepemimpinan negara yang stabil.



Halangan tukar PN

Penekanan pendirian PKR untuk memilih Anwar dan menolak Mahathir menjadi halangan dalam cubaan blok pembangkang untuk menumbangkan Perikatan Nasional.

Sekutu PKR, DAP dan Amanah pada mulanya menyokong Anwar dengan syarat beliau dapat mengumpulkan cukup ahli parlimen untuk memberi mereka majoriti.

Setelah PKR tidak dapat mencapai sasarannya pada 16 Jun lalu, DAP dan Amanah mahu PKR menganggap Mahathir sebagai calon perdana menteri



Sekutu-sekutu Mahathir berpendapat beliau mempunyai pengaruh untuk memenangi ahli parlimen Malaysia Timur – sokongan blok yang penting.

Hari ini, Chang berkata PKR masih “berusaha dengan sangat kuat” untuk melakukan perubahan tampuk pemerintahan negara berdasarkan parameternya dan dengan Anwar sebagai satu-satunya calon perdana menteri meereka.

Bagaimanapun, sekiranya rancangan itu gagal, Chang lebih suka PH terus menjadi “pembangkang yang baik” daripada membiarkan Mahathir menerajui blok pembangkang dan menjadi perdana menteri untuk kali ketiga.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin tetapi jika kami tidak dapat sampai di sana, maka kami tidak dapat sampai di sana. Jadi biarkanlah. Kami hanya perlu menerima hakikat bahawa kami tidak mempunyai angka,” katanya.



“Kami sudah menentukan parameter kamu dan kami akan patuh terhadapnya. Kami telah putuskan tidak mahu Mahathir, maksudnya tidak mahu Mahathir sebagai perdana menteri lah,” jelasnya.

Berhubung dakwaan DAP dan Amanah, Chang berpendapat bahawa “terlalu awal” mengatakan Anwar gagal meyakinkan ahli parlimen Sarawak untuk menyokongnya sebagai perdana menteri.

“Kami masih bercakap dengan ramai orang. Usaha menjatuhkan pemerintahan pintu belakang masih terus berjalan,” katanya.

PH kini mempunyai 106 kerusi sementara PN mempunyai 116 kerusi.



Mkini

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker