Industri arak akan terus subur jika DAP/PH berkuasa: Presiden ISMA

BANGI, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Kecaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu terhadap pembekuan lesen penjualan arak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan kefahaman bahawa jika DAP terus berkuasa, maka industri minuman keras akan terus subur dan dibela.

Bahkan, sehingga hari ini, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu terus memuat naik beberapa kenyataan untuk mengecam langkah kerajaan yang tidak mengeluarkan lesen baharu bagi penjualan arak. 

Malangnya, kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Ronnie itu tidak mendapat liputan media bahasa Melayu. 

“Maka, ini memang sangat jelas, beliau seolah-olah sedang membela industri arak habis-habisan walaupun asas kepada tindakan kerajaan ini adalah kerana faktor keselamatan rakyat, iaitu bagi menyelesaikan isu pemandu mabuk yang telah meragut jiwa-jiwa yang tidak bersalah. 



“Apakah kepentingan beliau terhadap penjual-penjual arak ini sebenarnya sehingga hilang pertimbangan dan hati perut sebegini?

“Ini baru pembekuan pemberian lesen penjualan arak yang baru, belum lagi mengharamkan arak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, tidak mustahil jika kerajaan mahu mengharamkan arak, DAP akan bangkit berhimpun beramai-ramai di depan bangunan DBKL.

“Malah, kita tidak tahu apa yang mereka rancang dengan atau untuk pemegang-pemegang taruh industri arak di belakang tabir.



“Ini bukan pertama kali DAP bersungguh-sungguh membela arak secara bermati-matian sebegini. Saban tahun pun mereka jugalah yang membela pesta arak seperti Oktoberfest.

“Malah, betapa seriusnya mereka dengan agenda pembelaan industri arak ini boleh kita lihat apabila mereka sanggup bergaduh dengan PAS sehingga Pakatan Rakyat musnah satu ketika dahulu. Ini menunjukkan bahawa arak adalah ‘above politics’ buat mereka,” katanya.

Bimbang dengan perkara itu, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa, agar pihak berkuasa dan kerajaan untuk terus mencari jalan mengekang perkembangan industri arak ini dengan langkah-langkah yang proaktif dan berstrategi. 

“Sebuah negara yang bebas alkohol memang nampak seperti mustahil, tetapi jika visi itu ada, Insya-Allah kita akan menikmatinya satu hari nanti. Maka, binalah asas-asas ke arah objektif tersebut,” katanya.



Terdahulu, Ronnie Liu mengecam langkah DBKL membekukan pemberian lesen baru untuk penjualan arak di Kuala Lumpur.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berpelembagaan dan mengganggu hak bukan Islam untuk minum arak.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker