Mabuk: Juruteknik didenda RM4,000

KUANTAN, 5 Jun — Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhi hukuman denda RM4,000 ke atas seorang juruteknik selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, Selasa lalu.

Majistret Nor Izzati Zakaria juga memerintahkan M. Kathiravan, 27, menjalani hukuman penjara selama lapan bulan, jika tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 malam 2 Jun lalu, di Jalan Haji Ahmad di sini, selepas kereta dipandunya ditahan oleh anggota polis yang malakukan rondaan Op Mabuk di kawasan tersebut.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Peguam Mohd Fadzli Mohd Ramly yang mewakili tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling rendah kerana anak guamnya menyesal dengan kesilapan itu dan menjaga ibu bapanya dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

“Tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang baik kepada anggota polis terlibat selepas dia  ditahan dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nafizah Ismail.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker