Malaysia catat defisit dagangan pada April selepas rekod lebihan selama 269 bulan berturut-turut

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Pandemik COVID-19, yang menyebabkan gangguan utama kepada rantaian bekalan global, telah mengheret Malaysia untuk mencatatkan defisit dagangan sebanyak RM3.5 bilion pada April 2020 selepas mencatatkan lebihan dagangan selama 269 bulan berturut-turut, berikutan penurunan eksport yang lebih besar berbanding import.

Kali terakhir Malaysia mencatatkan defisit dagangan adalah pada Oktober 1997 sebanyak RM151.3 juta.

Pada bulan yang dikaji itu, eksport Malaysia susut 23.8 peratus kepada RM64.92 bilion manakala import turun 8.0 peratus kepada RM68.42 bilion, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia yang dikeluarkan hari ini.

MITI berkata pada April 2020, perdagangan Malaysia bernilai RM133.34 bilion, menyusut 16.4 peratus berbanding April 2019, disebabkan pandemik COVID-19 dengan perdagangan lebih rendah direkodkan terutama dengan Singapura, Thailand, India, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Vietnam dan Arab Saudi.

Berbanding Mac 2020, jumlah perdagangan dan eksport masing-masing menurun sebanyak 9.9 peratus dan 19 peratus manakala import naik 0.9 peratus.

Mengulas prestasi itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata penurunan eksport dan import tersebut telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia berada dalam keadaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata ini menyebabkan gangguan utama terhadap aktiviti pembuatan dan pergerakan barangan secara global namun begitu, eksport beberapa barangan seperti barangan besi dan keluli, sarung tangan getah dan minyak sawit ditapis mencatatkan peningkatan.

“Eksport Malaysia dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana kerajaan telah membenarkan lebih banyak industri untuk kembali beroperasi dengan kapasiti penuh sejak 4 Mei 2020.

“Begitu juga, syarikat-syarikat di negara lain turut meningkatkan operasi perniagaan mereka. Ini akan menggalakkan aktiviti-aktiviti perdagangan di antara Malaysia dengan negara-negara lain,” katanya dalam laporan yang sama.

Menurut MITI, eksport barangan besi dan keluli; kelengkapan pengangkutan serta keluaran getah masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit pada 21.5 peratus, 21.8 peratus dan 11.7 peratus meskipun eksport barangan perkilangan menyusut 23.4 peratus tahun ke tahun kepada RM55.5 bilion.

Penurunan barangan perkilangan yang merangkumi 85.5 peratus daripada jumlah eksport adalah berikutan eksport lebih rendah bagi barangan elektrik dan elektronik, barangan perkilangan logam, jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum serta barangan optik dan saintifik, kata MITI.

Kementerian itu berkata pada April 2020, jumlah perdagangan dengan ASEAN turun 27.9 peratus tahun ke tahun kepada RM30.4 bilion atau merangkumi 22.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Perdagangan dengan China yang merangkumi 19.7 peratus atau RM26.25 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkurangan secara marginal sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun,” menurutnya.

Jumlah perdagangan dengan AS pula, yang merangkumi 8.0 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan penurunan sebanyak 19.6 peratus tahun ke tahun kepada RM10.67 bilion.

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah, yang menyumbang 7.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan penurunan sebanyak 33.3 peratus tahun ke tahun kepada RM9.42 bilion.

Pada April 2020, jumlah perdagangan dengan Jepun berkurang 22.2 peratus tahun ke tahun kepada RM8.59 bilion dan menyumbang 6.4 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia.

“Perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas pula yang merangkumi 71.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia merekodkan pengurangan sebanyak 9.5 peratus tahun ke tahun kepada RM95.47 bilion,” kata MITI.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker