PKPB : Lebih 53,000 kenderaan diperiksa di Plaza Tol Jalan Duta – KP KL
KUALA LUMPUR, 28 Mei — Lebih 53,000 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke pusat bandar raya dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Sabtu lepas , kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Beliau berkata kebanyakan mereka yang diperiksa hanya merentas daerah dengan tujuan untuk bekerja terutama mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting.
“Sejak Sabtu lepas, hanya satu kompaun dikeluarkan polis Kuala Lumpur di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun yang datang dari Pulau Pinang kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri,” katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada sekatan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta menghala Kuala Lumpur, di sini, hari ini, Mazlan berkata jumlah pengguna jalan raya di ibu negara dijangka meningkat selepas cuti Aidilfitri.
Sementara itu, sebanyak 189 pasukan pemantau ditubuhkan bagi memantau pematuhan orang ramai terhadap arahan PKPB sejak Sabtu lepas.
Mazlan berkata susulan itu, sebanyak 206 kompaun dikeluarkan terhadap orang awam kerana melanggar PKPB seperti tidak menjaga penjarakan sosial dan ziarah menziarahi sempena Aidilfitri selepas 1 Syawal.
“Pasukan pemantau akan membuat rondaan dan pemantauan di seluruh Kuala Lumpur seperti di pusat membeli-belah dan kawasan perumahan. Mereka yang ingkar dan melanggar arahan PKPB akan dikompaun,” katanya.
— BERNAMA