Moody’s: Mudah tunai Maybank, CIMB & Public Bank dijangka kekal kukuh

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Moody’s Investors Service menjangka mudah tunai Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd kekal kukuh meskipun berdepan krisis pandemik COVID-19, disokong oleh pertumbuhan deposit.

Agensi penarafan kredit itu dalam laporan terbaharunya berkata permodalan tiga bank terbesar Malaysia dari segi aset itu dijangka kekal stabil kerana penjanaan modal akan mengatasi penggunaan modal berikutan pertumbuhan pinjaman yang lemah.

“Penampan kukuh bank-bank itu akan membantu mengurangkan peningkatan risiko aset, dengan rizab kerugian pinjaman melepasi 100 peratus pinjaman rosot nilai di kebanyakan bank pada Mac 2020,” kata  Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody’s Alka Anbarusa dalam laporan itu.

Menurut Moody’s, bahagian pinjaman rosot nilai CIMB meningkat 36 mata asas kepada 3.4 peratus manakala pinjaman rosot nilai Maybank berkembang tujuh mata asas kepada 2.7 peratus disebabkan terutamanya daripada rosot nilai pinjaman baharu di Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, ia berkata, kualiti aset di Public Bank stabil, yang lebih menumpukan kepada pasaran Malaysia dengan 80-90 peratus daripada pinjamannya berada di bawah moratorium pembayaran semula.

“Secara perbandingannya, setakat ini, hanya 45-50 peratus pinjaman berada di bawah moratorium CIMB dan Maybank, walaupun bank-bank itu menjangka peratusannya akan meningkat,” kata agensi penarafan itu.

Bagaimanapun, laporan itu memberi amaran bahawa ketiga-tiga bank tersebut berdepan dengan peningkatan tekanan ke atas keuntungan daripada kegawatan yang berpunca daripada COVID-19 dengan kualiti aset dijangka menyusut bermula 2021 apabila moratorium pembayaran semula pinjaman berakhir.

“Peningkatan ketara dalam kos kredit dan penguncupan margin faedah bersih akan memberi kesan kepada keuntungan kesemua ketiga-tiga bank itu tahun ini manakala impak ke atas kualiti aset akan lebih ketara hanya bermula dari 2021 apabila sebahagian besar pinjaman dijangka kekal di bawah moratorium sepanjang tempoh tahun ini,” kata Alka.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker